
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman (Seberang Perai Utara)
BUTTERWORTH, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Institusi kewangan tidak berlesen ataupun di kenali Along, berleluasa mencari mangsanya dengan mengiklankan promosi-promosi pinjaman kewangan mudah melalui media cetak seperti kad perniagaan, pamplet, dan poster-poster yang dipasang sepanjang jalan dan begitu berani mencabar pihak berkuasa tempatan dengan tidak membayar kos lesen pengiklanan.
Bagi orang yang terdesak untuk mencari pinjaman kewangan dengan cara mudah, sudah tentunya akan tertarik dengan pengiklanan tersebut dan bersetuju dengan syarat yang dikenakan walaupun kadar bunga atau interest yang dikenakan adalah tinggi berbanding bank-bank yang berlesen. Semua ini akan memerangkap peminjam yang akhirnya akan menyebabkan tekanan dan sehingga ada yang membunuh diri disebabkan oleh Along yang mengganggu kehidupan peminjam.
‘OPS Banner’ yang dijalankan antara kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Seberang Perai(MPSP) telah berjaya menurunkan lebih 300 banting (poster) dan pelekat iklan yang menawarkan pinjaman secara haram yang dipasang oleh Along disekitar Daerah Seberang Perai Utara dalam usaha mencegah orang ramai daripada terpedaya dengan jerat pinjaman wang tanpa lesen.
Menurut ACP Tn. Noorzainy bin Haji Mohd Noor, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara,berkata operasi ini dijalankan berdasarkan aduan orang awam yang diterima berikutan poster pinjaman tanpa lesen ini makin berleluasa dan ianya memberikan impak yang negatif serta mencemar keindahan dalam bandar dengan dipenuhi poster-poster haram ini,’ujarnya dalam pada satu sidang media baru-baru.
“Saya ingin menasihatkan dan mengingatkan kepada masyarakat di Seberang Perai Utara agar jangan mudah terpengaruh dengan iklan-iklan yang ditawarkan oleh Ah Long dan ceti haram yang tidak logik ini walaupun dalam keadaan kewangan yang terdesak, kelak hari nanti membahayakan nyawa sendiri”, katanya lagi.
Bagi kes dibawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 berdasarkan statistik yang diterima oleh IPD SPU bagi tahun 2018 sebanyak 11 kes yang dibuka dan 3 kes daripadanya telah didakwa. Sementara bagi tahun ini 1 kes telah diterima dan status kes masih dalam siasatan.