Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Projek Rintis ‘Ops Rabies’ Mulai 1 Mac  

By 26 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto: Siti Fairuz Ngatenan/Saiful Rahman Sabri

KUCHING, 26 Feb  (Malaysiaaktif) – Projek Perintis Ops Rabies Sarawak akan dilaksanakan di Daerah Lundu dan Bau selama 10 hari bermula 1 hingga 10 Mac ini. Projek ini adalah sebahagian daripada pendekatan untuk membanteras penularan wabak rabies yang kini telah meragut 16 nyawa semenjak April 2017.

Timbalan Ketua Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Rabies di Bilik Gerakan Negeri di sini, hari ini berkata operasi ini dijalankan selaras dengan pengisytiharan wabak rabies sebagai Bencana Tahap 2 mengikut Arahan Majlis Keselamatan negera (MKN) No.20.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) ketika menyampaikan maklumat Ops Rabies Sarawak, disaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Prof Datuk Dr Sim Kui Hian (kanan), Superintendan Ang Seow Aun (kiri), dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud (hujung kiri).

Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) ketika menyampaikan maklumat Ops Rabies Sarawak, disaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Prof Datuk Dr Sim Kui Hian (kanan), Superintendan Ang Seow Aun (kiri), dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud (hujung kiri).

Beliau menegaskan objektif operasi ini adalah untuk memastikan 100 peratus anjing di kawasan operasi divaksinasi dan menyingkirkan anjing liar. Ini kerana kebanyakan anjing-anjing liar yang tidak bertuan ini boleh memberi ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan penduduk setempat.

“Ketua-ketua masyarakat akan bertanggungjawab untuk mengenalpasti anjing-anjing liar di kampung mereka dan memberi perhatian serius terhadap saranan kerajaan,” tegas beliau.

Beliau turut menggesa agar semasa projek rintis ini dijalankan, orang ramai hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semasa operasi berjalan.

Selain itu, katanya, anjing peliharaan juga hendaklah disimpan di kawasan rumah masing-masing. Orang ramai juga digesa untuk tidak melarikan anjing dari kawasan operasi.

Beliau juga berharap agar projek ini berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif dan seterusnya dilaksanakan di daerah-daerah lain iaitu zon yang sudah diisytiharkan sebagai Zon Rabies.

Beliau turut memaklumkan setakat ini sebanyak 112,141 ekor anjing telah divaksin oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak manakala lebih 10,000 ekor anjing telah divaksin oleh Doktor Veterinar swasta.

Bilangan ini menurutnya menunjukkan peratusan melebihi 54 peratus dari anggaran 225,000 ekor anjing di Sarawak telah disuntik dengan vaksin anti-rabies.

Sekiranya program ini dijalankan dengan jayanya sudah tentu program seterusnya tidak akan menghadapi masalah kerana SOP sedia ada dijadikan sebagai panduan  bagi melaksanakannya.

Tinggalkan komen anda