
Laporan / foto : Mohd Sukri Ismail (Machang)
MACHANG, 24 Mac (Malaysiaaktif)– Pejabat Tanah Jajahan Machang, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Machang telah mengadakan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Machang (MPBD).
MPBD Machang merupakan satu wadah tempat pemimpin dan belia berbincang mengenai isu dan dasar yang melibatkan pembangunan belia di daerah.
Peranan dan fungsi MPBD Machang ini adalah selaras dengan Majlis Perundingan Belia di peringkat negeri dan juga kebangsaan.
Secara dasarnya, MPBD memainkan peranan yang amat besar dalam perencanaan, pemantauan, pelaksanaan dan penilaian program serta pendekatan pembangunan belia daerah.
Pengarah, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan, Mohd Zamani Ab. Ghani, berkongsi dalam menyampaikan maklumat dan peluang pekerjaan komersil kepada belia Daerah Machang iaitu menanam nanas yang memberi pendapatan lumayan.
Mohd Zamani juga menerangkan pakej bantuan tanaman nanas seperti projek pengukuhan tanaman nanas, projek integrasi tanaman nanas, projek tanaman nanas premium komersil Nanas Milie Dilard 2 (MD2)
“LPNM akan memberi bantuan benih nanas atau sulur nanas yang mana jika harga sulur nanas 30 sen satu sulur, 15 sen akan ditanggung oleh LPNM bagi nanas MD2 dan paling minima untuk tanam nanas adalah 1 hekta tanah bagi 10.000 sulur anak benih nanas.” jelasnya.
Beliau juga mengatakan bagi harga MD2 di ladang RM2.50 sebiji. Nanas juga boleh dieksport keluar negara kerana permintaannya adalah tinggi.”
“Modal permulaan bagi projek nanas adalah besar tetapi ia tidak seharusnya menjadi halangan kepada golongan belia kerana pelbagai bantuan dan pinjaman serta tunjuk ajar akan diberikan sehingga berjaya.” tambahnya.
Beliau juga menerangkan, “Persediaan awal untuk melaksanakan projek tanaman nanas ialah mengenalpasti kawasan tapak projek yang sesuai dan saiz projek, menetapkan pihak yang akan menguruskan projek, merancang sumber dan kos yang terlibat, peruntukan tengah kerja, merancang pasaran hasil dan pulangan pendapatan dari projek.”
“Kerjasama daripada agensi-agensi seperti Felcra, Felda dan Perhilitan sedia membantu memberi tunjuk ajar kepada golongan belia yang hendak menceburkan diri dalam bidang ini.” katanya
“Industri Nanas Negara mempunyai masa depan yang cerah dan kini dijadikan sebagai ‘Sumber Kekayaan Baru’ kempen memakan buah nanas perlu dipergiatkan. Ini melibatkan semua pihak untuk meningkatkan potensi permintaan.” mengakhiri ulasannya kepada Malaysiaaktif.
– NAZ