
Laporan/foto : Saufi Ab. Ghani / Shuhaimi Ahmad (Kelantan/Terengganu)
KOTA BHARU, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Program Kenduri Rakyat bertempat di Masjid Mahmuddin Pekan Melor, Kota Bharu begitu bermakna dengan kehadiran Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Mohamed Azmi Ali yang turut sama solat jumaat. Kira-kira 500 orang jamaah masjid setempat hadir meraikan Program Kenduri Rakyat ini.
Dalam khutab Jumaat, Khatib Muhyidin Mohamad, 62, berkata, rakyat tidak kisah jika tiada wang, rakyat tidak kisah jika hidup miskin tapi rakyat risau dengan gejala sosial yang kian merebak di kalangan masyarakat, terutama masalah penagihan dadah di kalangan belia. Masalah dadah ini menjadi pencetus pada berbagai masalah sosial lain seperti mencuri, meragut, rogol, menipu dan seumpamanya. Semua gejala sosial ini berpunca dari asasnya tidak mengerjakan solat. ”
Sambungnya lagi, “Semoga menteri memberikan perhatian khusus tentang perkara ini. Syukur dan terima kasih terhadap pembangunan yang dibawa oleh kerajaan seperti membesarkan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, membina LPT 3, membina jalan-jalan raya dan banyak lagi pembangunan, semoga perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin untuk kemudahan rakyat.”
Selepas solat Jumaat menteri beramah mesra dengan jamaah setempat, bersalam dan bertanya khabar. Menteri juga menyantuni rakyat dengan mencedok nasi ke pingan yang disambut oleh jamaah yang sedang beratur untuk mengambil makanan.
Kamarudin Husin, 61, pesara guru berkata, jarang kita dapat bersama menteri sebegini, disantuni dengan mesra, beginilah hendaknya selalu, bukan sekadar kata sahaja perlu mesra dengan rakyat tapi rakyat tidak rasa di mana kemesraan itu. Orang kata biarlah kata mesra itu dirasai hingga ke akar umbi rakyat dan benar-benar diterjemahkan.” ujarnya kepada Malaysiaaktif.