Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Kesedaran, Kerjasama Usaha Banteras Denggi

By 8 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Noor Mahmuddin Mohd Mahlil / Ihsan: Pusat Kesihatan Daerah Jeli (Jeli)

JELI, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Kesedaran dan kerjasama semua pihak merupakan elemen penting dalam usaha membanteras penularan wabak denggi berikutan berlaku peningkatan drastik jumlah kes wabak demam denggi di daerah ini sejak Januari hingga Mac 2019.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Jeli, Dr. Amirulazman Abu Hassan, sehingga minggu kesembilan tahun ini sebanyak 23 kes demam denggi didaftarkan dan dikesan berbanding tiga kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkatan sebanyak 20 kes berbanding tempoh sama tahun lalu, kes demam denggi yang didaftarkan dari Blok Pasir Puteh, Ayer Lanas,” katanya.

Aktiviti 'Operasi Pencegahan' dan gotong royong yang sedang dijalankan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah di lokasi kes

Aktiviti ‘Operasi Pencegahan’ dan gotong royong yang sedang dijalankan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah di lokasi kes

Mengulas mengenai tahap kesedaran masyarakat terhadap aspek kebersihan, Dr. Amirulazman berkata, ia masih rendah biarpun melibatkan kawasan kediaman sendiri.

“Sikap buang sampah merata-rata masih lagi berlaku, selain menyerahkan sepenuhnya tugas jaga kebersihan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Penyakit Wabak Denggi Daerah Jeli di sini pagi ini.

Justeru, beliau berharap tugas menjaga kebersihan ini menjadi tanggungjawab semua pihak kerana risiko untuk penularan wabak lebih tinggi jika aspek kebersihan diabaikan.

“Sikap masyarakat antara punca kepada peningkatan masalah kebersihan, rata-rata masyarakat hari ini meletakkan tugas menjaga kebersihan persekitaran di bahu pihak berwajib semata-mata. Sebanyak 11 kompaun telah dikeluarkan kepada penduduk semasa operasi pencegahan sepanjang kes berkenaan dilaporkan,” ujarnya.

Katanya lagi, Program Gotong-Royong Perdana melibatkan pelbagai agensi dan jabatan, sebagaimana yang telah diadakan tahun lepas akan dijadikan rutin bulanan bagi mengelakkan kes penularan wabak ini terus berlarutan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda