Skip to main content
HomeTerengganu

‘Harimau Menangis’ Jadi Tarikan

By 14 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim/Ehsan Facebook Bukit Harimau Menangis (Kemaman)

KEMAMAN, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Bukit Harimau Menangis (BHM) menjadi tumpuan kepada penduduk setempat dan luar tertutamanya kepada kaki pendaki bukit.

Namanya yang unik dan panorama yang indah antara faktor bukit ini menjadi pilihan para pengujung untuk berkunjung ke sini serta lokasi yang strategik di dalam kampung iaitu perantaraan Kampung Semayor dan Ayer Jerneh, Kemasik

Mendapat jolokan nama `Bukit Pok Long` oleh penduduk setempat, hampir setiap hari bukit ini dikunjungi oleh orang ramai sama ada secara persendirian mahupun berkumpulan. seawal 6 pagi hingga 7 petang dan pengunjung akan bertambah ramai pada waktu cuti hujung minggu dan cuti peristiwa.

Apa yang pasti, aktiviti mendaki BHM ini sekaligus memberi limpahan rezeki kepada para peniaga di kawasan setempat kerana ramai peniaga dapat berniaga dengan pelbagai jenis jualan yang diniagakan di sini.

Para pengunjung dari dalam dan luar Kemaman pastinya teruja untuk mendaki bukit ini kerana selain nama yang unik, pengunjung sudah pasti dapat menikmati panorama yang indah sebaik tiba di puncak.

Para pelajar bergambar kenangan setelah tiba di puncak bukit

Para pelajar bergambar kenangan setelah tiba di puncak bukit

BHM satu nama yang unik, oleh yang demikian ramai pengunjung tertanya-tanya bagaimana bukit ini mendapat nama yang pelik sedemikian.

Menurut Penghulu Mukim Kerteh, Abdul Ghafar Mohamed, 36, atau lebih dikenali sebagai Tok Pa oleh penduduk setempat berkata berdasarkan sejarah panggilan Bukit Harimau Menangis ini, terdapat dua versi cerita yang dikenalpasti daripada orang lama yang menetap di sini.

“Pertamanya, menurut cerita mitos orang-orang dahulu, di atas bukit ini tinggal sekumpulan orang Asal (Orang asli) dan di kalangan orang asli ini terdapat seorang ketua iaitu Tok Batin yang dikatakan mempunyai kehebatan luar biasa dalam bidang perubatan tradisional. Beliau juga dikatakan berkebolehan mengawal semangat hutan termasuklah membuat ikatan janji dengan haiwan-haiwan pemangsa seperti gajah, badak dan sebagainya agar tidak mengggangu orang-orang di kawasannya itu.

“Terjadi suatu peristiwa di mana bukit yang diduduki itu, seekor harimau belang telah mengejar sekumpulan Orang Asal menyebabkan Tok Batin amat marah dan mencari ‘Pak Belang’ yang dikatakan mencabuli perjanjian damai tersebut. Kemudiannya, seekor daripada tiga puluh empat ekor harimau tersebut dengan angkuhnya mengaku akan perbuatan itu dan telah bersumpah untuk tidak menghormati perjanjian mereka,” tambahnya lagi.

Tanpa berlengah lagi, Tok Batin dikatakan telah menampar harimau tersebut sehingga mengeluarkan bunyi ngauman seolah-olah tangisan anak kecil yang sedang menanggis di atas bukit ini.

Peniaga sedang menyiapkan juadah untuk pengunjung

Peniaga sedang menyiapkan juadah untuk pengunjung

Kejadian itu turut didengari oleh penduduk-penduduk di bawah bukit dan dikatakan bahawa tangisan itu berlangsung selama tiga hari berturut-turut, siang dan malam sehingga peristiwa harimau menangis inilah bukit tersebut mendapat nama.

Tok Pa berkata, cerita kedua bukit ini mendapat nama Bukit Harimau Menangis pula ialah sebelum kedatangan Jepun lagi, masyarakat kampung telah membuka tanah untuk bertani dan dikatakan sehingga kini masih boleh dilihat terdapat dusun durian, pisang, nangka dan lain-lain selain penduduk turut membuka ladang getah sebagai aktiviti harian mereka.

“Suatu hari orang kampung dikejutkan bunyi ngauman harimau yang dikatakan kematian anaknya. Punca kematian anak harimau tersebut kononnya telah dibunuh oleh sekumpulan pemuda yang melalui satu air pancur dan ternampak anak harimau sedang bermain dengan anak ikan seruan dalam lompakan air pancur tersebut.

“Tanpa menyedari akan bahayanya, anak harimau itu telah dibenamkan di dalam air panchor sehingga lemas dan akhirnya mati,” ujarnya.

Menurut Tok Pa lagi, ibu harimau mengesan kesan bau tangan manusia pada badan anaknya yang mati itu dan harimau ini kemudiannya mengaum sekuat hati di atas puncak bukit tersebut sebagai memberi amaran kepada manusia bahawa mereka tidak lagi diberi kebenaran memasuki dusun-dusun mereka.

Penghulu Mukim Kerteh, Abdul Ghafar Mohamed

Penghulu Mukim Kerteh, Abdul Ghafar Mohamed

“Penduduk tidak berani lagi masuk ke sana menyebabkan mereka telah meminta bantuan dari kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah ancaman harimau. Pegawai British ketika itu telah meminta bantuan Sir Lieutenant Colonel Anthur Locke bagi menyelesaikan ancaman ganas harimau spesis Malayan Tiger.

“Pada 2 September 1949, akhirnya harimau tersebut berjaya ditembak mati oleh Anthur Locke setelah harimau tersebut mengorbankan seramai 12 orang mangsa yang terdiri daripada tujuh orang penoreh Cina dan lima orang penoreh Melayu,” tambahnya.

Begitulah nama Bukit Harimau Menangis mendapat nama sehingga digunapakai pada hari ini.

EM

 

Tinggalkan komen anda