
Laporan/foto:Asmidar Zainol /PETRONAS/JKM (Kota Kinabalu)
KINABATANGAN, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Pusat Konservasi Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) mampu meletakkan negara sebagai hab penyelidikan alam sekitar mengenai biodiversiti di mata dunia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pelancaran pusat berkenaan bukan sahaja dapat dilawati oleh pelancong tetapi juga menjadi pusat penyelidikan utama kepada ahli akademik dan penyelidik.
“Dengan adanya ICSC penyelidikan boleh dibuat secara mendalam dan hasilnya boleh dinikmati bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga di seluruh dunia.
“Melalui ICSC, kita dapat memberi kesedaran kepada generasi muda tentang kepentingan untuk memelihara hutan sedia ada di Sabah.
“Ia perlu dilaksanakan sehingga ke akar umbi supaya wujud kesinambungan dan langkah berterusan untuk memelihara hutan demi kepentingan bersama dan bukan mengaut keuntungan semata-mata,” ujarnya.
Shafie turut menyeru Yayasan Sabah untuk mengambil langkah proaktif membangunkan tanah-tanah terbiar agar dapat menjana pendapatan yayasan tersebut.
“Saya telah minta Yayasan Sabah untuk mengurangkan pembalakan dan bagi tanah-tanah yang terbiar akan ditanam dengan buah-buahan untuk memastikan hasil Yayasan Sabah dapat dipertingkatkan,” katanya.
Shafie turut menghargai usaha yang dilaksanakan oleh PETRONAS khususnya dalam mewujudkan ICSC di Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA).
“Kita berterima kasih kepada Petronas kerana memberi peruntukan RM83 juta bagi untuk membolehkan kita membina pusat ini supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat tempatan tetapi juga masyarakat dunia untuk membuat pelbagai kajian.

Mohd Shafie (tengah) menyaksikan Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman di antara Yayasan Sabah dan Yayasan Petronas.