Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Ikan Karin Antara Seni, Minat dan Sumber Pendapatan

By 29 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan / foto: Rosli Md Zin/ Shahrir Mohammad Nor (Bachok)

BACHOK, 29 Mac (Malaysiaaktif)– Sinonim dengan panggilan ‘ikan karin’, mereka yang berasal dari Kelantan rata-ratanya mengetahui rupa dan bentuk fizikal ikan tersebut.

Di luar negeri ini ia dikenali sebagai ikan palakat, ikan pelaga atau ikan laga siam atau nama saintifiknya betta splendens bagi ikan laga dan betta palakat bagi ikan cantik bukan untuk tujuan laga.

Yahya Ahmad, 54, dikenali sebagai ‘Pak Dor’ dalam kalangan penduduk setempat merupakan seorang peminat dan penternak ikan hiasan ini.

Beliau yang telah berkecimpung dalam bidang ini sejak lima tahun lalu menjadikan pembiakkan serta pembenihan palakat ini sebagai sumber pendapatan sampingannya.

Pak Dor bersama baka ikan hiasan

Pak Dor bersama baka ikan hiasan.

Berbekalkan modal sebanyak RM2000 dan dibantu oleh anak saudaranya, Kahirul Anuar Abdullah, 37, beliau mula berjinak-jinak dengan pembiakkan dan menjalankan usaha pembenihan ikan palakat ini untuk dijual.

“Syukur, kini saya mempunyai 24 buah kolah dan 70 buah polisterin untuk ribuan benih ikan karin.

“Setiap pasang ikan dijual pada harga RM5.00 hingga RM200 bergantung kepada saiz dan baka ikan tersebut,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini baru- baru ini.

Baka yang dibenihkan oleh Pak Dor terdiri daripada fancy Cooper, Cooper, Giant, Royal Blue, White Platinum, Black Mamba dan lain lain lagi.

Botol-botol baka ikan untuk pembiakkan

Botol-botol baka ikan untuk pembiakkan.

“Baka ikan diperolehi dari sekitar negeri ini dan luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam melalui pembelian secara dalam talian,” katanya lagi.

Menurut Pak Dor, membiak ikan ini bukanlah perkara mudah, cabaran pertama ialah air tidak boleh mengandungi klorin dan apabila ikan sudah bertelur ia perlu diasingkan daripada induknya, proses menjaga telur hingga menetas adalah paling sukar.

“Baka dari Thailand cukup terkenal dengan kecantikan warnanya serta ekornya yang besar, jika keduanya dikacuk akan menghasilkan saiz yang agak besar serta warna yang menarik.

“Namun kacukkan ini tidak terdapat di negara tersebut, sebaliknya hanya terdapat di sini sahaja,” tambahnya.

Anak ikan juga dijual mengikut saiz, sepasang anak ikan baka daripada Black Mamba boleh mencapai harga RM200.

“Kebanyakkan ikan yang dicari oleh peminat adalah baka kacukan dari Indonesia dan Thailand, baka dari Indonesia lebih terkenal dengan saiz tubuh badan yang agak besar dan panjang.” jelasnya.

Beliau telah menerima tawaran bantuan peralatan daripada Pejabat Perikanan Daerah Bachok bernilai RM17000 untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut.

Bantuan yang akan diterima dalam masa terdekat ini berupa kolam kecil, mesin penyediaan makanan dan peralatan menyimpan ikan.

“Tawaran daripada Pejabat Perikanan Daerah ini atas usaha kami menyediakan kertas kerja, anak saudara yang mempunyai sarjana di dalam bidang akuantan banyak membantu,” jelasnya.

Beliau juga menggalakkan kepada sesiapa yang berminat mengusahakan ikan hiasan ini supaya merujuk kepada Jabatan Perikanan kerana banyak bantuan disediakan oleh kerajaan melaluinya.

Hisyam Husin, 38, seorang pemilik kedai ikan hiasan dan pelanggan, berkata ikan di sini sangat cantik dan tidak terdapat di tempat lain. Palakat mempunyai nilai seni tersendiri dan agak sukar diterjemahkan nilai seninya kepada yang tidak berminat.

-NAZ

Tinggalkan komen anda