Skip to main content
HomeTerengganu

Pengamal Media Terengganu Turun Padang Jayakan Khidmat Tanggungjawab Sosial

By 9 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: M. Subhi Abang/Nik Awang Yaa’cob (Setiu)

BANDAR PERMAISURI, 9 Mac (Malaysia Aktif) – Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), hari ini turun padang bagi melaksanakan Aktiviti Khidmat Tanggungjawab Sosial (CSR) untuk membantu membersihkan, mengecat, menyusun atur kediaman dan menyampaikan sumbangan.

Program CSR yang julung kali diadakan oleh Gabungan Media Terengganu turut disertai 36 pelajar Asas Kewartawanan Kokurikulum daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Keluarga Muhammad Hisham Ismail, 11, yang menetap di Kampung Pak Kancil Dalam, Setiu terpilih menjadi perintis kepada kesinambungan aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh kelab ini.

Memori kesusahan keluarga Muhammad Hisham sebelum ini tular sebagai murid bersikap penyayang apabila kisah beliau berkongsi dan menyuap makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada adiknya Nur Dina Ismail, 7, di Sekolah Kebangsaan Putera Jaya, Setiu baru-baru ini.

Pelajar UMT sedang mengecat rumah

Pelajar UMT bergotong royong mengecat rumah

Semenjak kisah itu menjadi pilihan utama media di Terengganu, Muhammad Hisham yang diketahui merupakan seorang murid yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) pembelajaran dalam usia itu tampak gigih menerapkan nilai masyarakat dan kasih sayang diantara adik-beradik dan ibubapanya bermula dari rumah sehingga berjaya menyentuh hati  masyarakat sekitarnya.

Timbalan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Ahmad Syafri Husnaini ketika di temui berkata, “Sumbangan yang diberikan kepada keluarga ini adalah hasil sumbangan daripada ahli kelab media. Walaupun keluarga ini serba kekurangan, namun mereka kaya dengan nilai-nilai murni kasih sayang. Jadi, sumbangan hasil daripada ahli kelab media ini diharap dapat lebih menceriakan keluarga ini di samping menyuburkan lagi kasih sayang antara mereka,” katanya ketika menjayakan program CSR di rumah murid tersebut di Kampung Pak Kancil Dalam dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, semasa ketibaan KAWAT ke rumah itu jelas terpancar kegembiraan di wajah kedua ibubapa Muhammad Hisham dan adik-beradiknya yang lain.

Sementara itu, Ibu beliau Nor Seri Idayu Mahamed, 32, yang ditemui berkata mereka sekeluarga amat gembira dan berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan pada hari ini dan menganggap itu adalah tuah yang dibawa oleh anak istimewanya walaupun mempunyai masalah pembelajaran.

“Saya dan keluarga amat bersyukur dan tidak menyangka dengan apa yang telah dilakukan oleh pihak media dan pelajar UniSZA, yang mana kami tidak pernah mengimpikan akan mendapat sumbangan sebegini rupa dalam hidup kami sekeluarga,” ujarnya.

“Sebelum ini anak saya turut menerima penghargaan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pada Program Ziarah Unsung Hero pada Februari lalu,” tambahnya lagi.

Kisah Muhammad Hisham dan Nur Dina telah menjadi tural di media sosial apabila seorang guru di sekolah tersebut memuatnaik gambar dua beradik tersebut ketika sedang berkongsi makanan RMT sebelum memulakan sesi pembelajaran.

EM

Tinggalkan komen anda