Skip to main content
Berita TempatanHomePulau Pinang

Ambil Berat Kesihatan Buah Pinggang; Elak Dialisis

By 10 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri /Ahmad Faiz Mansur (Barat Daya)

BAYAN BARU, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Saban tahun, bilangan rakyat Malaysia yang menderita akibat kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat ujar Dr. Afif Bahardin, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang ketika menyempurnakan pelancaran Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

“Pada penghujung tahun 2009, seramai 21,245 rakyat negara ini menjalani rawatan dialisis dan jumlah ini meningkat kepada 42,009 pada penghujung tahun 2017. Peningkatan jumlah pesakit sebanyak dua kali ganda dalam tempoh hanya 8 tahun dan peningkatan ini dijangka akan berterusan”, tambahnya lagi.

Dr. Afif dalam ucapannya berkata buah pinggang adalah antara organ terpenting dalam tubuh manusia yang berfungsi sebagai penapis dan pembersih darah untuk menyingkir pelbagai bahan kumuhan yang tidak diperlukan oleh badan manusia.

Dr. Afif Bahardin menyempurnakan perasmian Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri

Dr. Afif Bahardin menyempurnakan perasmian Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri

Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang berlangsung di Kompleks Pasar dan Kemudahan Rakyat, Majlis yang bermula dari jam 8 pagi itu telah disempurnakan oleh Dr. Afif Bahardin, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Justeru beliau berharap penglibatan masyarakat dalam mencegah penyakit buah pinggang ini sentiasa konsisten dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Pemeriksaan kesihatan percuma juga disediakan pada majlis tersebut.

Pemeriksaan kesihatan percuma juga disediakan pada majlis tersebut.

Sebagai makluman, penganjuran Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2019 ini merupakan hasil kerjasama di antara Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Nefrologi Hospital Pulau Pinang dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia.

Sambutan ini diadakan pada setiap tahun bertujuan memupuk kesedaran masyarakat Malaysia tentang kesihatan buah pinggang serta isu-isu kesihatan lain.

Pada program ini turut berlangsung pelbagai program pemeriksaan kesihatan antaranya ialah pemeriksaan kandungan gula dalam darah, tekanan darah dan penerangan mendalam berkenaan diabetes.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Wan Mansor Hamzah dan Ketua Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ong Loke Meng.

Tinggalkan komen anda