
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang
GOMBAK, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berusaha mendekati belia berbasikal dalam usaha mencungkil potensi dan memahami masalah serta kehendak golongan tersebut.
Menurut beliau, persepsi negatif mengenai komuniti ini perlu ditangani khususnya dalam aspek keselamatan agar minat mereka berbasikal dapat diterjemahkan.
“Kita nak faham apa masalah mereka, apa yang boleh kita bantu kerana persepsi negatif yang diletakkan atas komuniti itu perlu ditangani khususnya dari segi keselamatan.
“Kita nak pastikan sambil mereka berbasikal dengan cara yang selamat,minat mereka dalam berbasikal ini dapat diterjemahkan. Mungkin boleh jadi penganti Azizul Hasni Awang,” katanya.
Jelas menteri muda ini, beliau berusaha membantu golongan ini disebabkan masyarakat sering melabelkan imej negatif terhadap mereka.
“Mereka perlu dibantu, jika kita lupa atau asingkan komuniti ini bagaimana nak memahami mereka dan selesaikan masalah sedia ada.
“Kerana komuniti ini memang akan wujud, persoalannya bagaimana kita boleh mendekati dan selesaikan masalah mereka,” katanya.
Tambah Syed Saadiq, dalam pertemuan secara santai itu, beberapa isu yang melingkari golongan belia berbasikal terutama basikal lajak dapat dikenal pasti.
“Antaranya permintaan hak berpesatuan, salah satu perkara yang saya akan perhalusi. Kedua, mereka minta trek yang selamat untuk mereka beraksi dalam tempoh masa mungkin sehingga pukul 7 petang.
“Kita tidak mahu mereka bermain di tengah malam tanpa pengetahuan ibu bapa kerana unsur keselamatan memang menjadi keutamaan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas program Sesi Santai Bersama Belia Berbasikal di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim.
-NAZ