
Laporan & Foto: Hafizan Hamzah (Hulu Langat) /Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)
KAJANG, 23 Mac (Malaysiaaktif) – “Tugas pegawai penjara kian mencabar apabila institusi penjara kini juga berfungsi sebagai institusi pembangunan atau pembentukan semula insan.
Sehubungan ini, setiap kakitangan penjara tanpa mengira pangkat merupakan aset penting dalam perkhidmatan koreksional”, ucap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-229 bertempat di Penjara Kajang semalam.
“Dengan bertemakan ‘Reformasi Penjara Masyarakat Sejahtera’, sambutan Hari Penjara pada tahun ini memberi makna bahawa Jabatan Penjara Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan hukuman yang profesional sentiasa berusaha agar perubahan dan pembaharuan program-program pemulihan insan akan terus diperluaskan, khususnya menerusi program pemulihan di luar tembok penjara”, ujar beliau lagi.
Tambah Muhyiddin lagi, “sebagai menghargai pengorbanan pegawai dan kakitangan penjara, Kementerian Dalam Negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk menambah baik skim perkhidmatan kepenjaraan agar kerjaya sebagai Pegawai Penjara lebih menarik dan setara dengan skim perkhidmatan seumpamanya termasuk mengemukakan untuk pertimbangan agensi pusat supaya anggota jabatan penjara diberikan kenaikan Bayaran Insentif Khas (BIK) kepada RM200.00 sebulan sepertimana yang diterima oleh anggota pasukan keselamatan beruniform yang lain”.
“?Selama ini penjara dilihat sebagai sebagai sebuah tempat yang terasing. Dengan dikelilingi tembok berduri, penjara amat sukar untuk didekati oleh masyarakat. Namun kini, konsep kepenjaraan telah berubah di mana penglibatan masyarakat menjadi penyumbang terpenting dalam menentukan halatuju dan tahap kejayaan program-program pemulihan penghuni.
Sokongan masyarakat sebenarnya membantu merealisasikan harapan banduan untuk berubah tanpa mengalami tekanan ketika berdepan dengan masyarakat sekeliling”, ujar Muhyiddin.
Muhyiddin turut menyatakan, bagi tahun 2019, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Penjara memberi tumpuan utama terhadap program pemulihan dalam masyarakat. Selaras dengan sasaran KDN dan Jabatan Penjara agar 2/3 banduan sabitan menjalani pemulihan di dalam komuniti menjelang tahun 2030, besarlah harapan agar usaha untuk memperluaskan program pemulihan dalam komuniti terus diperhebatkan.
“Program pemulihan penghuni pula akan dipertingkatkan keberkesanannya dengan melatih lebih ramai tenaga pengajar, menambah kelas-kelas pembelajaran banduan dan memastikan kesesuaian program pemulihan berdasarkan tempoh pemenjaraan seseorang pesalah.
Profesionalisme kakitangan penjara juga akan dipertingkatkan menerusi budaya pembelajaran berterusan, pengkhususan koreksional dalam skim perjawatan seperti bidang perundangan, psikologi, kriminologi dan bidang-bidang lain yang berkaitan serta usaha berterusan untuk meningkatkan skim gaji dan elaun pegawai dan kakitangan penjara agar setaraf dengan agensi beruniform yang lain”, tambah beliau lagi.
“Besarlah harapan saya agar penganjuran Hari Terbuka Penjara ini akan membolehkan para pengunjung melihat sendiri program-program pemulihan yang dilaksanakan di dalam penjara dan dengan pendedahan ini, sedikit sebanyak kita akan dapat membina persepsi positif masyarakat terhadap institusi penjara sebagai tempat untuk membantu para penghuni membina kembali jatidiri agar mereka dapat kembali berperanan dalam masyarakat”, kata Muhyiddin.
-NAZ