
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman (Seberang Perai Utara)
Georgetown, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Tarikh 8 Mac setiap tahun diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Wanita Antarabangsa bagi menghargai peranan dan pengorbanan wanita. Ia juga mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan. “Balance for Better” merupakan tema untuk sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini.
Tema ini selaras dengan hasrat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memastikan keseimbangan dan kesejahteraan wanita serta memberikan penekanan kepada usaha dan inisiatif untuk mengarusperdanakan kesaksamaan gender. Kerajaan menyedari bahawa kesaksamaan gender dan pemberdayaan wanita akan memberikan impak kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ini dapat dilihat melalui penglibatan wanita dalam sektor ekonomi negara di mana ia amat penting bagi memastikan setiap wanita mencapai potensi ekonomi dan berdaya saing.
Justeru itu, dalam usaha menggambarkan peranan dan sumbangan wanita yang amat besar dalam meningkatkan ekonomi keluarga dan negara ini, seorang usahawan muda wanita Wan Rohani Binti Wan Majid, 33 tahun telah mengambil peluang berkolaborasi dengan Jabatan Pembangunan Wanita sempena Hari Wanita ini dengan memperkenalkan produk khas Natuwrel keluaran syarikat beliau. Produk dalam bentuk set mini ini merangkumi set penjagaan diri wanita iaitu pencuci badan dan syampu yang mudah untuk dibawa ke mana sahaja terutama untuk wanita bekerja dan selalu bertugas di luar kawasan.
Menurut beliau, “keunikan set produk ini adalah ia dihasilkan dengan menggunakan sumber kekayaan alam iaitu nenas (ananas comosus). Nenas mengandungi enzim Bromelin iaitu sejenis enzim proteolitik yang selalu didapati daripada bahagian tengah (empulur) nenas”.
Menurut usahawan muda ini lagi, “satu lagi produk unik Natuwrel ini ialah sabun susu yang berasaskan Beras Kedah yang ditanam di daerah Sik. Beras ini diproses untuk mendapatkan ekstraknya. Hasil daripada ujian makmal yang telah dilakukan oleh pihak SIRIM mendapati Beras Kedah ini sangat bagus untuk melembab, melembut dan sebagai agen anti-penuaan kepada kulit. Campuran daripada Beras Kedah, oat, santan dan minyak kelapa dara telah menghasilkan produk
sabun susu ini”, katanya ketika ditemui di Expo Halal Antarabangsa Pulau Pinang kali ke 10 di Spice Arena, Pulau Pinang baru-baru ini.

Dato ‘Abdul Halim Hussain ketika menyampaikan ucapan Perasmian PIHEC ke-10 di Spice Arena Pulau Pinang
Atas kegigihan dalam mengembangkan perniagaan dan membangunkan ekonomi, usahawan muda ini telah berjaya memperkenalkan produk Naturwel beliau bukan sahaja untuk pasaran Malaysia malah produk ini telah berjaya menembusi sempadan pasaran di Brunei dan Singapura.
Melalui platform yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkenaan, PIHEC ke-10 dapat membuka peluang pasaran dan mengeratkan jaringan antara usahawan Malaysia dan antarabangsa seperti dari Indonesia, Thailand dan Jepun serta perwakilan perdagangan dari Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (Dubai).