Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

1000 Warga Politeknik KK Sertai Program Yassin Hour

By 5 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto: Siti Mariam Aziz Rashid(Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 4 Apr(Malaysiaaktif) – Lebih 1,000 warga Politeknik Kota Kinabalu (PKK) terdiri daripada para pensyarah, kakitangan dan pelajar menyertai program Yassin Hour@Politeknik dan Kolej Komuniti Sempena Sambutan Jubli Emas Politeknik Malaysia di sini semalam.

Program yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Politeknik Malaysia, dilaksanakan serentak di seluruh Negara melibatkan 36 Politeknik dan 102 buah Kolej Komuniti selama sejam mulai 10.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Ustaz Haider (tiga dari kiri) memimpin bacaan Yassin bagi lebih seribu peserta yang hadir.

Ustaz Haider (tiga dari kiri) memimpin bacaan Yassin bagi lebih seribu peserta yang hadir.

Diadakan di Pusat Islam PKK, program dimulakan dengan alunan nasyid Asma’ul Husna oleh para hadirin diikuti bacaan yassin yang dipimpin oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Am, Ustaz Haider Ahmad Fazil, seterusnya diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengarah PKK, Ts. Zainab Othman.

Zainab dalam ucapannya berkata, program Yassin Hour ini diadakan sebagai tanda  kesyukuran di atas penubuhan dan kelestarian Politeknik Malaysia selama 50 tahun, sekali gus memohon keberkatan menjelang peperiksaan akhir yang bakal dihadapi para pelajar Politeknik mulai 13 hingga 27 April 2019 nanti.

Zainab menyampaikan ucapan kepada para peserta dif penghujung majlis

Zainab menyampaikan ucapan kepada para peserta di penghujung majlis

Bagi pelajar bidang Perakaunan Siti Karma Mohd. Rapi, 19, program Yassin Hour merupakan program  yang amat bermakna khususnya kepada para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan akhir.

Menurutnya, setelah bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran, sewajarnya keberkatan dipohon agar dipermudahkan segala urusan menghadapi peperiksaan.

Siti Karma (kiri) bersama rakan-rakan daripada program Perakaunan – Syarifah Norshahfifi Yacob (duadari kiri), Nur Adilah Bakri dan Siti Aisyah Suharto (kanan)

Siti Karma (kiri) bersama rakan-rakan daripada program Perakaunan – Syarifah Norshahfifi Yacob (dua dari kiri), Nur Adilah Bakri dan Siti Aisyah Suharto (kanan)

“Budaya membaca yassin bukan sahaja dituntut oleh agama, malah amalan mulia ini perlu disemai seawal yang mungkin agar setiap pelajar lebih tenang, fokus dan mampu menghadapi  sebarang cabaran dan rintangan dalam pelajaran,” jelas Siti Karma.

Hal ini dipersetujui oleh Harith Hairiq Hairani, 20, pelajar Semester empat Kejuruteraan Mekanikal yang berpendapat bahawa program seperti ini sudah pasti meningkatkan semangat kerohanian para pelajar sekaligus mendoakan kejayaan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan di samping mendoakan kesejahteraan seluruh warga Politeknik Malaysia.

Harith Hairiq

Harith Hairiq

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam,  Ts. Babby Freskayani@Izyani Kaliwon berkata, program ini sangat baik dan perlu dilaksanakan dengan lebih kerap.

“Selain dapat merapatkan silaturrahim di kalangan warga PKK, program ini juga boleh memupuk dan meningkatkan kesedaran kepada para pelajar untuk sentiasa mendekatkan diri kepada hal-hal berkaitan keagamaan, seterusnya mengimarahkan program-program kerohanian.

Ts. Babby Freskayani @ Izyani Kaliwon

Ts. Babby Freskayani @ Izyani Kaliwon

“Saya amat menyokong pelaksanaan program seperti Yassin Hour ini khususnya di PKK, bukan sahaja untuk mengimarahkan majlis tetapi juga untuk membantu meningkatkan ilmu kerohanian masing-masing termasuk diri saya sendiri.

“Program seperti ini juga dilihat sebagai platform terbaik dalam pembangunan modal insan dan wajar dilaksanakan lebih kerap lagi,” tambah Babby.

IMG-20190405-WA0018

Program sejam ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dengan penyertaan seramai 22,716 peserta seluruh negara menerusi catatan aplikasi QR Code, sepertimana diumumkan Ketua Eksekutif Am MBOR, Siti Hajar Johor pada Khamis di kampus Politeknik Ungku Omar, selaku penganjur utama program Yassin Hour.

Turut hadir pada program peringkat PKK, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Mohd. Sahran Mohidin, barisan pengurusan serta pensyarah kanan PKK.

EM

Tinggalkan komen anda