Skip to main content
HomeJohor

‘Mee Racun’, Racun Baharu Kaki Makan

By 5 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 5 April (Malaysiaaktif) – Jika berada di Batu Pahat, tidak lengkap perjalanan anda jika tidak menikmati Mee Racun resepi turun temurun yang cukup sinonim di kalangan penduduk Batu Pahat, Johor kerana rasanya yang unik dan tersendiri.

Mendengar namanya yang agak menggerunkan, kaki makan tidak perlu bimbang kerana mee istimewa ini tidaklah berbahaya seperti namanya atau menyebabkan keracunan jika dinikmati kerana bahan asasnya diperakui selamat.

Terdiri daripada mee, sos tomato, telur, tauhu, kentang dan pes rahsia keluarga, geerasi pemilik masakan resepi mee racun, Shahrul Nizam Abdul Wahab, 40, berkata sebenarnya Mee Racun bukanlah mee yang beracun tetapi mee tomato.

Sejarah Mee Racun bermula daripada perniagaan rojak milik arwah datuknya yang berasal daripada India pada awal 1970 dan beliau mencipta resepi ini di Jalan Sultanah. Perniagaan ini diteruskan oleh ayah dan pak cik beliau sejak lebih 40 tahun lalu sehingga salah seorang pelanggan menjadi ‘ketagihan’ dengan mee yang dihasilkan oleh mereka.

“Nama mee racun ni tercetus daripada pelanggan arwah ayah dan pak long. Dia yang beri nama ini dengan mengatakan bahawa mee ini ‘beracun’,” jelasnya.

Shahrul Nizam Abdul Wahab menyediakan 'Mee Racun' untuk pelanggan

Shahrul Nizam Abdul Wahab menyediakan ‘Mee Racun’ untuk pelanggan

Kini terdapat tiga gerai Mee Racun di sekitar daerah Batu Pahat iaitu di Taman Sri Jaya, Jalan Timah Sari dan Medan Selera Jalan Sultanah. Walaupun berbeza pemilik namun perniagaan ini diusahakan oleh saudara mara Shahrul juga.

Perniagaan ini diusahakan bersama adik-beradik dan sentiasa mendapat sambutan daripada penduduk setempat malah, Shahrul kini menerima lebih ramai pelanggan daripada luar Batu Pahat lebih-lebih lagi selepas tular di media sosial tentang keistimewaan mee ini.

“Pelanggan biasanya ramai pada hujung minggu dan semasa musim gaji,” ujarnya lagi.

Shahrul juga mempunyai ramai pelanggan tetap yang setia dengan rasa Mee Racun istimewanya dan tidak hairan jika pendapatan bulanan kasar yang diraih olehnya mampu mencecah RM20,000 sebulan.

Hafiz Mohamed antara pelanggan tetap.

Hafiz Mohamed antara pelanggan tetap.

Salah seorang pelanggan tetap di kedai ini, Hafiz Mohamad, 32, berkata “Makanan yang ditawarkan di sini semua sedap dan harganya berpatutan. Selain itu, gerai ini terletak di kawasan yang strategik dan mudah untuk di akses oleh semua pengunjung,” katanya dan Mee Racun Gearbox dan Mee Goreng Daging sentiasa menjadi pilihan apabila mengunjungi gerai ini.

“Kalau nak berniaga, minat kena ada. Walaupun ada modal tapi minat tidak ada pasti tidak menjadi,” antara nasihat yang diberikan oleh Shahrul untuk mereka yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini sebelum mengakhiri perbualannya.

EM

Tinggalkan komen anda