Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Air Telaga Tiub Bantu Operasi Pemadaman Kebakaran

By 22 April 2019Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

MIRI, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Di sebalik penglibatan  pasukan Bomba dan Penyelamat Miri memadam kebakaran terbuka di Kuala Baram, ramai tidak tahu kelibat Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak (JMG) dalam operasi tersebut semenjak  7 Mac 2019 yang lalu.

Sumbangan dan peranan jabatan ini amat besar terutama  membantu operasi kebakaran terbuka di samping memastikan masyarakat di kawasan terbabit tidak panik serta terhindar daripada bencana ini.

Melalui jalinan kerjasama dua agensi ini telah memudahkan kerja-kerja pemadaman kebakaran. Peranan JMG yang kurang  diketahui masyarakat ini telah banyak membantu menangani masalah kebakaran terbuka semenjak lapan tahun yang lalu.

Lebih 10 tahun lalu JMG  telah terlibat sepenuhnya meneroka sumber air bawah tanah bagi kegunaan operasi pemadaman kebakaran terbuka. Pendekatan ini  merupakan langkah strategik dan efektif bagi menangani bencana tersebut selain membina parit penampan kebakaran.

Hampir saban tahun berlaku kebakaran terbuka di  kawasan ini. Apabila musim kemarau panjang, rumput mudah terbakar apabila terkena sentuhan api dari puntung rokok atau pembakaran kecil yang akhirnya merebak dengan cepat.

Edward Muol, Ketua Penolong Pengarah JMG menerangkan profail telaga tiub kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Petugas Media

Edward Muol, Ketua Penolong Pengarah JMG menerangkan profail telaga tiub kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Petugas Media

Semenjak  kawasan Miri dilanda kemarau, pegawai dan kakitangan JMG telah berada di lapangan bagi membantu proses pemantauan dan pengepaman air dari beberapa buah telaga tiub. Air dari telaga tiub dipam serta disalurkan ke telaga takungan atau disalurkan ke tangki jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Telaga tiub merupakan alternatif bagi mendapatkan sumber air dengan cepat. Pili bomba tidak dapat membekalkan air dengan banyak dan cepat berbanding air dari telaga tiub. Telaga tiub mempunyai kadar luahan yang tinggi dan mampu dipam selama enam jam hingga lapan jam sehari.

Sebelum telaga dibina, satu kajian literatur dan lapangan dibuat bagi menentu kawasan berpotensi untuk digerudi. Pengerudian dilakukan dengan dua kaedah iaitu menggunakan mesin gerudi bagi telaga yang dalamnya melebihi 30 meter manakala kaedah ‘water jetting’ bagi telaga yang kurang daripada 30 meter.

Kerja pengepaman dan penyaluran air dilakukan oleh anggota JMG

Kerja pengepaman dan penyaluran air dilakukan oleh anggota JMG

Semenjak 7 Mac hingga kini sebanyak lima buah telaga tiub telah di pam iaitu KB7,KB9, KB14, KB16 dan KB19. Menurut Edward Muol, Ketua Penolong Pengarah  JMG, “setiap telaga tiub mempunyai  kadar luahan dan kedalaman yang berbeza. Telaga tiub KB19  berkedalaman 92.50 meter adalah yang paling tinggi kadar  luahan iaitu 90 meter padu sejam.”

Ketinggian kadar luahan sesebuah telaga tiub  bergantung kepada  keluasan dan kedalaman akuifer. Sekiranya akuifer (takungan air bawah tanah) luas dan tebal maka airnya banyak serta  luahannya tinggi  walaupun  pada musim kemarau.

Menurut Jonathan Judan, Pembantu Kajibumi Kanan, “setiap telaga dipam lebih kurang 8 jam sehari. Air yang dipam akan  disalur ke telaga takungan yang  terletak berdekatan dengan akses jalan raya. Ini bagi memudahkan pihak bomba menyedut  air untuk diisi ke dalam tangki  jentera pemadam.”

“Bagi membantu operasi ini,  kami mengaktifkan  lima telaga tiub yang mempunyai kadar luahan tinggi serta resab air yang banyak. Bantuan daripada beberapa anggota jabatan, kerja-kerja pengepaman dan pemantauan  dilakukan mengikut jadual bagi mengelak telaga daripada kering serta merosakkan akuifer, Purata air yang telah dipam setakat ini bermula dari 7 Mac hingga 24 Mac 2019 dan 7 April hingga 21 April  2019 lebih kurang 1,120,000 liter.” ujar Edward Muol Ketua Penolong Pengarah  yang terlibat dalam operasi tersebut.

Datuk Amar Douglas Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah melakukan  lawatan lapangan sambil mendengar taklimat, meninjau tempat kebakaran serta mendapatkan pandangan daripada agensi terbabit.

Bagi ‘memerangi’ kebakaran terbuka yang sering berleluasa serta memberi pencemaran kepada alam sekitar di kawasan Kuala Baram Miri, kerajaan negeri  telah bersetuju untuk membina lebih banyak lagi telaga tiub sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang.

Beliau turut mengumumkan sebanyak RM 651,000 telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan segera pengurusan masalah kebakaran terbuka di kawasan Miri.

Tinggalkan komen anda