
Laporan/foto: Tg. Saipulah Tg. Mohamed
TELUK KETAPANG, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Program Gotong-Royong ‘Terengganu Go Clean’ cipta rekod apabila 16,390 peserta terlibat dalam program yang diadakan secara serentak di 30 lokasi kawasan pantai Terengganu.
Kejayaan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records selepas diiktiraf sebagai penyertaan teramai secara serentak dalam aktiviti pembersihan pantai.
Aktiviti yang tampak memberi keseronokan buat hampir 20 ribu peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi awam dan ahli badan bukan kerajaan yang bermula 8.30 pagi anjuran kerajaan negeri bersama-sama dengan Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu di mana lokasi tumpuan utama adalah di Pantai Teluk Ketapang.
Majlis penyerahan sijil Malaysia Book of Records berkenaan disempurnakan wakil Malaysia Book of Record kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini.
Bagi Kamadila Din, 33, program ini perlu menjadi budaya dan contoh kepada semua pihak agar dapat menerapkan tanggungjawab untuk terus menjaga kebersihan.
“Penyertaan beramai-ramai ini mampu menyedarkan orang awam yang masih tidak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi berkenaan kepentingan untuk menjaga kebersihan di kawasan tumpuan orang ramai,” ujarnya.
Sementara itu bagi Siti Hajar Zakaria, 26, berkata penglibatan semua peringkat umur dalam kempen ini secara tidak langsung dapat memupuk sikap untuk menjaga kebersihan bermula dari peringkat sekolah lagi.