
Laporan/foto:Mohd Rizal Abdul Rahman (Kulim)
LUNAS, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Buat julung kalinya Karnival Harapan Lunas diadakan di Padang Awam Taman Saga Keladi, Kulim dengan pengisian pelbagai aktiviti, pameran-pameran jabatan dan agensi kerajaan serta gerai-gerai jualan IKS.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas Azman Nasruddin, karnival ini bertujuan untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat serta jabatan-jabatan atau agensi kerajaan.
“Sebagai kerajaan, kita akan lakukan yang terbaik bagi menjamin masyarakat di DUN Lunas dan juga di Kedah akan terus terbela dengan diadakan pelbagai perancangan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri.
“Dalam pada itu, penganjuran karnival ini dapat memberikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat agar mereka tidak lagi perlu bersusah payah untuk ke pejabat-pejabat kerajaan,” katanya ketika merasmikan program, di sini semalam.
Karnival Harapan Lunas ini merupakan program rentetan daripada Pelancaran Karnival Harapan Kedah yang telah diadakan di Kubang Pasu baru-baru ini, dan Daerah Kulim merupakan destinasi kedua sempena karnival ini.
Sementara itu Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata tujuan diadakan karnival ini adalah untuk memperkenalkan kepada rakyat pelbagai kemudahan telah disediakan oleh kerajaan baik negeri atau persekutuan kepada rakyat.
“Pelbagai kemudahan daripada kerajaan telah disediakan kepada rakyat bagi membantu rakyat dalam pelbagai aspek seperti pertanian, perikanan, keusahawanan, kebajikan dan macam-macam lagi,” katanya ketika merasmikan penutupan program.
Antara jabatan dan agensi yang terlibat adalah Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat Daerah dan Tanah Kulim, FAMA, Pejabat Penerangan Daerah Kulim, APMM dan banyak lagi.
Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Azri Abbas, 40, berkata karnival sebegini perlu diteruskan bagi memberi kemudahan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya dalam urusan melibatkan jabatan kerajaan.
“Ianya memudahkan segala urusan dan jabatan kerajaan lebih dekat dengan rakyat,” katanya.