Skip to main content
HomePutrajaya

Statut Rom tidak cabar kedaulatan negara – Pakar

By 8 April 2019Tiada komen3 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Kedaulatan Malaysia tidak akan hilang atau tercabar menerusi ratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana negara masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber rujukan utama undang-undang, demikian tegas pakar perundangan.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata Perlembagaan Persekutuan berada pada kedudukan tertinggi selaku undang-undang induk dan mengatasi sebarang peruntukan undang-undang sesebuah perjanjian.

“Dalam Perlembagaan, kita melindungi kuasa serta memberi perlindungan kepada raja-raja Melayu dan perkara itu tidak boleh dinafikan.

“Dengan negara meratifikasikan Statut Rom, ia tidak akan memberi kesan kepada imuniti dan kedaulatan raja-raja,” katanya kepada Bernama di sini semasa mengulas keputusan kerajaan untuk menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom ICC.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya ada raja terlibat dalam pelanggaran undang-undang, mereka tertakluk kepada mahkamah khas, justeru aspek imuniti dan perlindungan ke atas mereka tidak terusik.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom ICC berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, namun menegaskan keputusan itu bukan disebabkan statut tersebut membahayakan negara.

Kata Dr Mahathir keputusan untuk menarik diri daripada menyertai statut itu dicapai secara bersama dalam mesyuarat mingguan kabinet semalam.

Malaysia memeterai Instrumen Kesertaan Statut Rom ICC pada 4 Mac dan semalam Dr Mahathir berkata Malaysia mempunyai sehingga Jun untuk menarik balik instrumen itu.

Sebelum ini dilaporkan keputusan Malaysia untuk menyertai statut itu mendapat kritikan dan bantahan beberapa pihak yang mendakwa langkah tersebut antara lain akan menyentuh kuasa raja-raja, keistimewaan orang Melayu dan kemuliaan agama Islam.

ICC yang ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom, merupakan mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa, melibatkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada berkata rakyat perlu faham bahawa perjanjian Statut Rom tersebut hanya melibatkan pihak-pihak yang melakukan jenayah dan mereka boleh didakwa di mahkamah antarabangsa.

Menurutnya negara mempunyai beberapa kelebihan sekiranya statut itu diratifikasi khususnya dalam aspek kerjasama antarabangsa, misalnya dari segi ekstradisi pesalah.

“Contohnya, penjenayah yang melakukan jenayah di Malaysia lari ke Amerika, dan selepas itu Amerika tangkap individu itu dan kita minta untuk dia dibicarakan di Malaysia. Adanya perjanjian ekstradisi membolehkan Malaysia membicarakan orang itu, dan ia juga tidak bermakna bahawa kita mencabar atau mempersoalkan kedaulatan Amerika,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Marthada berpendapat kebimbangan masyarakat berhubung Statut Rom berpunca daripada kurang maklumat dan pengetahuan mengenai perjanjian itu, menyebabkan mereka menolak bulat-bulat tanpa memahami kepentingannya.

Sementara itu, pakar undang-undang antarabangsa daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mohd Yazid Zul Kepli berpandangan rakyat harus difahamkan bahawa Statut Rom tidak menafikan bidang kuasa mahkamah Malaysia kerana perjanjian tersebut adalah berasaskan prinsip melengkapi.

“Contohnya, jika terdapat pembunuhan beramai-ramai atau jenayah perang, orang yang melakukan jenayah itu mesti dihukum oleh mahkamah dalam negara, contohnya mahkamah kita. Jika mahkamah kita tidak mampu untuk menghukum penjenayah perang ini, barulah kita pergi ke mahkamah jenayah antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, Statut Rom juga memberi peluang kerjasama dan perkongsian kepakaran dengan kira-kira 120 negara yang bersetuju dengan dasar perjanjian tersebut selain memberi peluang kepada Malaysia untuk bersama-sama menunjukkan mesej solidariti menentang jenayah.

Beliau juga menyifatkan keputusan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom membuktikan kerajaan prihatin terhadap suara rakyat, meskipun ada pihak beranggapan kerajaan tidak konsisten dalam membuat sesuatu dasar.

“Jika nak diikutkan, kerajaan boleh saja teruskan meratifikasi Statut Rom walaupun ramai yang membantah, namun dilihat kerajaan yang baru memerintah ini lebih mendengar suara rakyat sekali gus menolak dakwaan perjanjian itu hanya untuk kepentingan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda