Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Kemarau Berpanjangan Jejaskan Bidang Pertanian

By 15 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad (Kota Bharu)

TUMPAT, 15 April (Malaysiaaktif) – Musim kemarau tahun ini telah memberi kesan terhadap pengusaha bidang penternakan dan pertanian, khususnya pesawah yang bergantung kepada air bagi memastikan hasil tuaian mereka menjadi.

Seramai 15 pesawah di Kampung Padang Tembesu,Tumpat amat terkesan dengan fenomena musim kemarau yang dialami sejak tiga bulan lalu.

Zulkifli Mamat, 55 , yang mengusahakan padi sejak tiga dekad lalu berkata kemarau yang melanda tahun ini lebih teruk berbanding tahun sebelumnya dan kita bakal alami kerugian besar jika kemarau ini berterusan tentu hasil tuaian tidak menjadi.

“Banyak pokok padi telah rosak, menjadi kering dan layu kerana kekurang air bagaimanapun hasil padi tetap akan ada cuma sangat berkurangan dan bijinya ringan disebabkan kekurangan zat air dan baja.” tambahnya berdasarkan pengalaman lalu.

“Kebiasaan di musim kemarau kami mengepam air dari tali air ke dalam petak sawah, tahun ini tali air juga turut kering,” ujarnya lagi.

“Petani buntu bila tali air juga turut kering, tiada bekalan air lagi untuk padi membesar sementara megeluarkan hasil, perkara ini perlu diambil tindakan segera oleh pihak yang berkaitan,” tegasnya.

Menurut seorang lagi pengusaha tanaman padi dan penternak kambing biri, Mohd Zulhatta Ab.Rashid, 34, berkata kos juga meningkat kerana proses pengairan tanaman perlu bermula pukul 7.00 pagi hingga 11.00 malam tanpa henti menggunakan enjin pam petrol.

Tali air yang kering disebabkan kemarau panjang

Tali air yang kering disebabkan kemarau panjang

“Saya terpaksa menggunakan tiga enjin pam menyedut air untuk mengairi bendang sawah padi saya sebanyak 10 bendang di kawasan Bendang Morak, bendang Bunut Sarang Burung dan bendang Kampung Kepulau Palekbang,” ujarnya.
“Binatang ternak juga turut terjejas kerana bekalan rumput tidak cukup dan padang ragut kering akibat kemarau yang melebihi 30 celcius panasnya, saya yang membela kambing biri-biri amat terkesan kerana terpaksa membeli makanan tambahan dengan kos lebih RM400 sebulan, tumbesaran ternakan juga terbantut dan ada yang mati,” katanya.

“Kami sebagai petani amat berharap hujan turun dan hasil padi dapat dituai pada pertengahan Syawal nanti,” tambahnya.

“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Jabatan Pertanian kerana pelbagai inisiatif membantu petani sekitar kawasan Tumpat dalam usaha mendalamkan parit dan menyelenggarakan laluan air masuk ke bendang dan laluan air parit buang jika berlaku lebihan air di sawah padi,” ujarnya.

Petani sangat bergantung kepada air yang disalurkan oleh JPS walaupun tidak mencukupi dan amat sukar gara-gara musim kemarau ini.

Pihak KADA dan Jabatan Pertanian kawasan Tumpat juga tidak lepas tangan dan telah berusaha sedaya upaya cuba menangani masalah petani di kawasan ini – Malaysiaaktif.

-NAZ

Tinggalkan komen anda