Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Kembalikan ‘Roh’ Membaca

By 25 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/Foto : Mohd Noor Mahmuddin Mohd Mahlil/Wan Seman Wan Bedollah (Jeli)

JELI, 25 Apr (Malaysiaaktif) – ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’, ungkapan peribahasa Melayu yang sentiasa meniti di bibir masyarakat apabila dikaitkan dengan pendidikan awal dan kanak-kanak.

Dalam usaha membudayakan dan memupuk minat membaca, seramai 48 murid Tabika Perpaduan Bandar Jeli telah dikumpulkan melalui Program Jom Membaca Bersama Untuk 10 Minit anjuran Perpustakaan Awam Cawangan Jeli dengan kerjasama Tabika Perpaduan Daerah dan Pejabat Penerangan Daerah Jeli di Perpustakaan Awam Cawangan Jeli pagi ini.

Program ini yang diadakan secara serentak di seluruh negara mulai pukul 11.00 pagi hingga 11.10 pagi.

Ia juga merupakan simbolik dan sahutan kepada seruan serta usaha murni program anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM).

“Program seumpama ini amat berkesan bagi menyemai dan mengembalikan roh, khususnya minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama usaha ke arah mendidik generasi baharu peringkat kanak-kanak tentang manfaat membaca walaupun hanya selama 10 minit,” ujar Norzahili Mohd Yusof, 33, Pembantu Operasi Perpustakaan Awam Daerah Jeli.

Norzahili Mohd Yusof,   33, Pembantu Operasi Perpustakaan Awam Daerah Jeli

Norzahili Mohd Yusof, 33, Pembantu Operasi Perpustakaan Awam Daerah Jeli

“Jom Membaca Bersama Untuk 10 Minit ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja dengan membaca apa sahaja bentuk bahan bacaan yang digemari dan boleh dilakukan di pejabat, di rumah, di sekolah, di dalam kenderaan, di stesen bas, di pusat membeli belah dan sebagai,” tambahnya.

“Faedah program ini amat besar dan penting, lebih-lebih lagi kita sedang melangkah memasuki gerbang tahun 2020 yang berbaki hanya beberapa bulan sahaja lagi, program ini juga merupakan manifestasi dan inspirasi daripada kempen ‘Earth Hour Tahun 2010’ yang mengajak orang ramai supaya memadamkan lampu selama satu jam untuk menyelamatkan bumi dari masalah ketirisan lapisan ozon,” kata Norzahili lagi.

“Jika diberi pilihan antara gajet terkini dan buku ilmiah, kanak-kanak seawal usia dua tahun pada masa kini pasti akan memilih gajet dan membelakangkan buku, kebimbangan tahap ketaksuban anak kecil terhadap gajet dan majoritinya tidak dapat berpisah walau sesaat pun dengan gajet, maka program sebegini perlu sentiasa diadakan bagi menanamkan kembali semangat serta ‘roh’ membaca dalam diri kanak-kanak,” katanya.

Bagi Nurul Afdzan Meh, 33, Guru Tabika Perpaduan Bandar Jeli 2, berpendapat kanak-kanak yang taksub dengan gajet seperti telefon pintar dan ‘tablet’ akan hidup dalam dunia tersendir, mereka kurang bercakap dan berinteraksi dengan persekitaran dan pancaindera yang lain lambat untuk menjadi matang kerana lebih tertumpu untuk menggunakan jari dan sentuhan sahaja.

Program Jom Membaca Bersama Untuk 10 Minit di Perpustakaan Awam Cawangan Jeli

Program Jom Membaca Bersama Untuk 10 Minit di Perpustakaan Awam Cawangan Jeli

“Pendedahan awal terhadap teknologi boleh membuatkan anak kecil celik teknologi maklumat, menambah pengetahuan am, menajamkan kecerdasan otak dan seterusnya membantu pembelajaran di sekolah namun hakikatnya, kanak-kanak yang memasuki sekolah, bukan mula belajar membaca dan menulis dengan menggunakan gajet, sebaliknya menggunakan pensil dan buku,” tambahnya.

Manakala bagi Siti Zainab Salleh, 37, juga Guru Tabika Perpaduan Bandar Jeli 2, berpandangan peranan ibubapa untuk turut bersama iaitu menjadikan amalan membaca buku di rumah bersama anak kecil mereka, bukan sahaja menambahkan ilmu di dada, malah buku yang dibaca bersama akan menjadi medium interaksi terbaik dan wujud masa berkualiti antara ibu bapa dan anak, selain si kecil boleh belajar mengenal huruf dan menulis menerusi bacaan buku itu.

Bagi Aina Balqis Mohd Saiful, 6, pelajar Tabika Perpaduan Bandar Jeli 1, berkata membaca, melukis, menulis adalah kegemarannya dan selain itu guru turut mengadakan aktiviti di luar kelas seperti menghadiri program membaca dan mewarna di Perpustakaan Awam Cawangan Jeli seperti hari ini sangat menyeronokkan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda