Skip to main content
HomeLabuan

KKMM Komited Benteras Jenayah Siber dan Pemerdagangan Orang

By 23 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 23 April (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyatakan komitmen padu kementerian itu untuk membanteras jenayah siber dan Pemerdagangan orang sampai ke akar umbi.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, KKMM, Shakib Ahmad Shakir, usaha untuk menangani jenayah siber ini bertitik tolak dari pengumuman Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada 3 Oktober 2018 yang bertekad untuk membanteras dan memerangi jenayah siber susulan kebimbangan peningkatan jumlah jenayah siber dalam pelbagai cara.

“Antaranya meliputi penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data.

Shakib (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama tetamu jemputan dan para hadirin

Shakib (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama tetamu jemputan dan para hadirin

“Jenayah siber ini merupakan ancaman serius kepada rakyat kerana penipuan ini mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit yang merupakan hasil titik peluh mangsa.

“Bagi kempen menangani Jenayah Siber ini, sebanyak tiga terma kempen telah dipersetujui dan digunapakai iaitu Jenayah siber, tipu panggilan dan love scam sementara dua hashtag yang digunakan sebagai peringatan untuk seluruh masyarakat ialah #ScamAlert dan #Jangan Terpedaya,” katanya.

KKMM juga katanya terlibat dengan kempen publisiti dan promosi untuk Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) sejak tahun 2007.

Antara hadirin yang menghadiri Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber dan Anti Pemerdagangan Orang

Antara hadirin yang menghadiri Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber dan Anti Pemerdagangan Orang

“Antara objektif kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai tentang isu pemerdagangan orang.

“MAPO merupakan suatu inisiatif kerajaan untuk membanteras pemerdagangan orang dan melindungi mangsa yang diperdagangkan.

“Menurut data yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun 2018 sebanyak 281 kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM)  2007 dan pada tahun 2019 sehingga 31 Mac sebanyak 76 kes telah disiasat,” katanya.

Jelas Shakib, fungsi Jawatankuasa Media dan Publisiti Kempen Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) adalah sebagai platform menyelaras aktiviti publisiti dan promosi MAPO secara bersepadu, berkongsi maklumat dan pengukuhan bersama.

Salah seorang penceramah dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Salah seorang penceramah dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Antara fungsi utamanya juga adalah memupuk kesedaran awam mengenai isu pemerdagangan orang melalui media elektronik, media cetak, komunikasi bersemuka, komunikasi visual dan komunikasi melalui media sosial,” jelasnya.

Beliau juga mengharapkan masyarakat dapat membantu usaha KKMM membenteras jenayah tersebut.

“Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan sekalian sebagai key communicators perlu menghayati isu ini dengan fokus dan menanam iltizam untuk menangani jenayah yang ternyata menggugat keselamatan rakyat Malaysia.

“Justeru itu, peranan tuan-tuan dan puan-puan yang paling utama ialah untuk memberi penerangan dan kefahaman yang berterusan kepada setiap lapisan rakyat tidak mengira umur, bangsa dan kedudukan.

Salah seorang peserta taklimat mengajukan soalan kepada penceramah

Salah seorang peserta taklimat mengajukan soalan kepada penceramah

“Saya amat yakin dan optimis tuan-tuan dan puan-puan mampu menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin demi kepentingan melindungi generasi akan datang,” katanya semasa merasmikan program Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber Dan AntiPemerdagangan Orang, pagi tadi.

Tambahnya, jabatan dan agensi di bawah kementerian itu sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan, persatuan masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan di semua peringkat bagi memastikan langkah-langkah pendidikan dan intervensi yang lebih berkesan dilaksanakan supaya isu tersebut dapat ditangani secara holistik serta kolektif.

Kira-kira 500 peserta hadir mendengar taklimat bersama Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik, KKMM, Datuk Almain Ajirul, Pengarah Penerangan Labuan, Supian Musa dan Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Labuan, Simsudin Sidek.

EM

Tinggalkan komen anda