
Laporan/Foto: Mohd Idris Deraman (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan nilai jualan RM50 juta di lima lokasi Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019 sepanjang tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya juga menyasarkan penyertaan lebih 2,500 usahawan desa sepanjang penganjuran KUD berkenaan.
“Di Terengganu, kita sasar nilai jualan dan padanan perniagaan untuk 300 peserta ini mencecah RM3 juta selama KUD Zon Timur kali ini berlangsung sepanjang tiga hari,” katanya kepada media selepas merasmikan KUD 2019 Zon Timur di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus baru-baru ini.
KUD@KPLB Zon Timur diadakan bertujuan untuk membuka peluang pemasaran secara terus oleh usahawan luar bandar terutamanya daripada Terengganu, Kelantan dan Pahang melalui pameran dan jualan produk.
Seorang peserta KUD, Mahazir Baharum, 45, yang mengusahakan minuman asli Asam Jawa berkata, penganjuran KUD ini amat memuaskan dan banyak membantu pengusaha seperti beliau meningkatkan jualan produk dan patut diadakan secara berterusan.
Mohamad Said, 55, salah seorang pengunjung yang ditemui pula melahirkan rasa bangga dan terima kasih atas program ini kerana di samping memberi peluang kepada usahawan desa menambah jualan dan pendapatan, juga ruang orang ramai melihat pameran dan menyertai acara-acara yang diadakan.