
 Laporan/foto: M. Subhi Abang/Nik Awang Yaaâcob (Setiu)
BANDAR PERMAISURI, 6 Apr (Malaysia Aktif) – Seramai 20 peserta terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim dan University College Bestari (UCB) Daerah Setiu mengikuti Kursus Asas Kewartawanan anjuran Pejabat Penerangan Daerah Setiu Dengan Kerjasama Kelab Media Setiu (KMS) dan PEWARTA Terengganu di Bandar Permaisuri, hari ini.
Kursus yang diadakan di Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Pejabat Penerangan Daerah Setiu dirasmikan oleh Pengerusi PEWARTA, Ruslan Abdul Rahman.
Menurut Ruslan, kesemua peserta begitu bersemangat sekali untuk mengikuti kursus ini dan mereka telah berjaya mengadaptasi keseluruhan sesi kursus tersebut sehingga tamat program.
“Semoga program ini dapat membantu peserta memahami fungsi pengamal media di samping dapat meningkatkan mutu penulisan dan berminat untuk menceburi bidang kewartawanan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis, di sini hari ini.
Penuntut UCB Mohamad Khairul Zaim Mohd Kechik, 22, dipilih sebagai penerima hadiah dalam Pertandingan Penulisan Berita Terbaik di akhir sesi amali tugasan seorang wartawan.
âKursus ini adalah platform terbaik dalam usaha memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk mendalami ilmu kewartawanan dengan lebih dekat,â ujar Khairul.
Pelbagai pengisian kursus diadakan bagi memberikan keseronokan kepada peserta termasuklah Pertandingan Penulisan Berita Terbaik dengan pemilihan lima pemenang dan teknik penulisan rencana serta foto yang berkualiti.
Tiga penceramah dipilih untuk membimbing program iaitu wartawan dari Sinar Harian, Mohd Taha Yaakob; wartawan dari Bernama, Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli dan Jurufoto dari Utusan Malaysia, Kamarudin Hamzah.
Hadir sama dalam Majlis Penutupan dan penyampaian sijil kursus ialah Setiausaha Kelab Media Setiu, Aminudin Ismail.
EM