Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

KWSP Kedah Terus Komited Bantu B40

By 27 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 27 Apr (Malaysiaaktif) – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Negeri Kedah mengambil langkah proaktif untuk terus membantu meringankan beban serta kos sara hidup golongan berpendapatan rendah B40 serta yang kurang berkemampuan.

Menurut Ketua Penguatkuasaan KWSP Kedah, Md Sabri Hamid, pelaksanaan aktiviti ini adalah sebagai tanda prihatin terhadap golongan yang memerlukan tambahan pula ketika bulan Ramadan yang bakal tiba.

“Aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan ini adalah bertujuan mendekati golongan kurang berkemampuan serta miskin agar mereka tidak merasa tersisih daripada perhatian.

“Ia juga merupakan salah satu program khidmat sosial dan kebajikan Kelab KWSP untuk terus mendekati serta mendampingi golongan tersebut,” jelasnya yang ditemui ketika program Pasar Percuma di Kampung Kubang, di sini semalam.

Sabri yang juga Timbalan Pengerusi Penasihat Kelab Anak-anak Sik (KAAS), berkata hampir 100 orang masyarakat setempat menikmati manfaat daripada penganjuran program pasar percuma tersebut yang merupakan salah satu medium baharu bagi menyantuni golongan sasar.

Sabri (kanan) menyerahkan kertas A4 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda.

Sabri (kanan) menyerahkan kertas A4 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda.

“Pasar percuma kali ini bukan sahaja menawarkan pakaian bahkan terdapat juga lain-lain keperluan seperti pinggan mangkuk, di mana orang ramai boleh memilih pakaian yang disukai mereka dan pakaian-pakaian tersebut merupakan sumbangan daripada saudara mara serta kakitangan KWSP sendiri.

“Kami akan asingkan jenis pakaian serta sekiranya perlu kami akan basuh baju-baju tersebut terlebih dulu, dan kami hanya akan berikan baju-baju yang dirasakan elok dan bersesuaian saja,” ujar anak jati Belantik ini lagi.

Terdahulu, KWSP turut menyampaikan sumbangan 550 rim kertas A4 kepada 11 buah sekolah sekitar Sik untuk kegunaan sekolah serta guru-guru dalam menjalankan aktiviti pembelajaran.

“Sumbangan kertas A4 ini merupakan hasil sumbangan peribadi daripada kakitangan KWSP.

“Semoga dengan sumbangan kecil ini dapat dimanfaatkan oleh pihak sekolah dalam mendidik anak bangsa serta demi pembangunan pendidikan di daerah ini,” jelasnya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda