Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeTerengganu

Kecil Bagi Kita Besar Bagi Mereka

By 26 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Rusmiza Anuar

DUNGUN, 26 Apr (Malaysiaaktif) – ‘Kecil bagi kita, besar bagi mereka’ diangkat sebagai tema sambutan dalam usaha memberi peluang kepada pelajar pendidikan khas mencungkil bakat dan kebolehan mereka melalui aktiviti yang dianjurkan.

Menyedari perlunya usaha berterusan dalam memberi pendedahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) kepada masyarakat, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pati, Dungun menganjurkan Minggu Pendidikan Khas ini.

Program julung kali diadakan ini merupakan program perintis bagi pelaksanaan tahun-tahun berikutnya.

Pameran Hasil kraftangan pelajar-pelajar pendidikan khas

Pameran hasil kraftangan pelajar-pelajar pendidikan khas

Biarpun mereka mempunyai banyak kekurangan berbanding pelajar arus perdana, namun mereka juga mempunyai keistimewaan tersendiri.

Beberapa aktiviti yang dilaksanakan sepanjang sambutan kali ini adalah acara memanah, kraftangan dan persembahan daripada pelajar pendidikan khas itu sendiri.

Menurut Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Tanjung Pati, Zarinawati Zulkifli, 46, beliau tidak menyangka Program Sambutan Minggu Pendidikan Khas yang bermula pada 21-25 April lalu mendapat sambutan yang baik daripada warga sekolah, ibu bapa dan pelajar arus perdana.

“Program ini bukan sahaja mampu melahirkan warga yang prihatin malah memberi peluang kepada pelajar pendidikan khas untuk bersosial dengan lebih baik bersama masyarakat sekeliling.

Aktiviti memanah  meningkatkan fokus pelajar-pelajar pendidikan khas

Aktiviti memanah meningkatkan fokus pelajar-pelajar pendidikan khas

“Kami di sini optimis dalam mengoptimumkan potensi mereka, agar tidak tercicir dan berdaya saing dengan murid yang normal melalui program-program dan aktiviti yang dilaksanakan,” katanya.

“Program lain yang pernah kami laksanakan antaranya membawa pelajar merasai pengalaman menaiki kapal terbang dan lawatan sambil belajar ke luar Terengganu di mana pengalaman ini amat bermakna buat mereka yang mungkin kecil bagi kita insan yang normal, namun sebaliknya bagi mereka, “ujar Zarinawati lagi.

Biarpun berhadapan dengan cabaran dalam menguruskan mereka di setiap aktiviti yang dianjurkan, bagi Zarinawati ia bukanlah satu halangan yang besar dan tiada istilah patah semangat untuk mengembirakan dan membangunkan pontensi mereka.

“Saya amat bertuah dengan sokongan serta kerjasama yang diberikan oleh guru dan ibu bapa serta Pembantu Pengurusan Murid dalam menjayakan setiap program dan aktiviti yang telah dirancang,” ujarnya.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas Tanjung Pati, Zarinawati berkongsi pengalaman menguruskan pelajar-pelajar pendidikan khas.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas Tanjung Pati, Zarinawati berkongsi pengalaman menguruskan pelajar-pelajar pendidikan khas.

“Apa yang kami laksanakan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pendidik, namun lebih utama adalah peranan ibu bapa dalam membangunkan pontensi dan memantau perkembangan anak-anak ini kerana masa mereka lebih banyak di rumah berbanding di sekolah”, tambahnya lagi.

Pihak sekolah amat berharap masyarakat di luar sana dapat menerima kehadiran mereka ini dengan hati yang ikhlas kerana mereka mempunyai hati dan perasaan seperti insan normal.

Sambutan Minggu Pendidikan Khas diharap akan menjadi pemangkin kepada usaha ke arah memartabatkan sahsiah dan keperibadian insan instimewa ini sebagai mana pelajar arus perdana.

EM

Tinggalkan komen anda