
Laporan/gambar: Shuhaimi Ahmad (Marang)
MARANG, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Tanpa menghirau bahang panas api kayu, Fatimah Mohamad, 66, tekun mengacau nira kelapa di dalam kawah untuk dijadikan gula manisan (gula melaka) atau kebih dikenali dengan nisang kerek di kalangan penduduk tempatan.
Nisang kerek dijadikan bahan untuk membuat kuih mendapat sambutan yang menggalakkan terutama menjelang ramadan tidak lama lagi.
Fatimah yang tinggal di Kampung Jenang dekat sini berkata, bagi memenuhi permintaan menjelang Ramadan, beliau akan mendapatkan nira kelapa untuk membuat nisang kerek hampir setiap hari.
“Saya memperolehi nira kelapa daripada penduduk kampung yang berkerja sebagai penyadap nira kelapa.
“Nisang kerek dihasikan daripada nira kelapa yang dimasak di dalam kawah dan dikacau sehingga pekat selama empat hingga enam jam,” katanya.
“Saya menggunakan kayu api sebagai bahan pembakar kerana nisang kerek lebih sedap dan beraroma berbanding menggunakan dapur gas,” tambahnya.
Walaupun terpaksa menahan bahang panas api kayu, Fatimah yang dibantu oleh adiknya, Khatijah Mohamad, 59, dapat menghasilkan antara 100 dan 150 keping nisang kerek sehari.

Fatimah (kanan) dibantu adiknya, Khatijah mengacau nira kelapa didalam kawah sehingga pekat sebelum dituangkan ke dalam acuan untuk dijadikan nisang kerek.
Fatimah tidak membuat nisang kerek pada bulan Ramadan kerana sukar mendapatkan nira kelapa.
Dalam bulan Ramadan, permintaan untuk nira kelapa terlalu tinggi kerana ianya dijadikan minuman ketika berbuka dan keadaan ini menyebabkan Fatimah terpaksa menghentikan sementara kerja membuat nisang kerek.
Nisang kerek yang siap biasanya dijual kepada peraih untuk diedarkan ke pasar sekitar Marang dan Kuala Terengganu.