
Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Muhammad Jazli Idris (Langkawi)
LANGKAWI, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Program dua hari Rapat Rakyat yang bermula hari ini menyasarkan pengurusan setempat yang lebih baik.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Pelancongan (MPLBP) Abdul Bari Abdullah, program yang diadakan ini merupakan bukti komitmen pihak majlis dalam usaha untuk merapatkan barisan kepimpinan dengan penduduk setempat.
“Dalam program ini juga pihak MPLBP akan memberi penghargaan kepada 74 pengusaha hotel di Langkawi yang sentiasa membantu membuat kutipan caj warisan yang dahulunya dikenali sebagai caj pelancongan.
“Sumbangan besar daripada pihak hotel ini sangat membantu MPLBP dalam sumbangan kewangan yang digunakan untuk pembiayaan kebersihan, utiliti dan keceriaan daerah Langkawi,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Menurut Abdul Bari lagi, pihak kerajaan negeri dan MPLBP amat komited ke arah pembangunan dan penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur terutamanya di Pantai Chenang yang merupakan tarikan utama pelancong melakukan riadah air.
Program Rapat Rakyat merupakan program turun padang oleh MPLBP kepada pelanggan di kawasan masing-masing.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi Dr. Hezri Adnan dan Ketua Polis Daerah Langkawi Superitenden Mohd Iqbal Ibrahim.