Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Pendedahan Sistem Demokrasi Bukan Galakkan Pelajar Berpolitik

By 15 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Mohd. Mahathir/Jabatan Penerangan Keningau (Keningau)

KENINGAU, 15 Apr (Malaysiaaktif)- Seramai 200 pelajar Kelab Malaysiaku dari empat buah sekolah di daerah ini hadir di Program Pengimarahan Pusat Maklumat Rakyat Keningau dan Amalan Demokrasi Berparlimen sabtu lalu.

Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau 2 ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar dan memberikan mereka pengalaman tentang perjalanan proses pengundian melalui simulasi pilihan raya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan raya Kota Kinabalu.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rasinin Koutis berkata pendedahan seperti ini adalah perlu supaya para pelajar akan lebih faham mengenai sistem demokrasi berparlimen yang dilaksanakan di negara kita.

“Dengan adanya program ini, peserta akan lebih faham dan diharap akan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi bila sudah mencapai umur yang layak untuk mengundi.

Salah seorang pelajar yang menunaikan kewajipan untuk mengundi

Salah seorang pelajar yang menunaikan kewajipan untuk mengundi

“Kita juga berharap dengan pendedahan ini, pelajar dapat menanamkan sikap cintakan negara dan program ini bukan bertujuan untuk menggalakkan pelajar untuk bergiat aktif dalam politik tetapi sebagai pendedahan kepada selok-belok yang berlaku semasa proses pengundian berlangsung,” tambah beliau lagi.

Beliau juga berharap agar program seperti ini diadakan di setiap sekolah menengah di daerah Keningau.

Pegawai Penerangan Daerah Keningau, Jaafar Matamin berkata program ini sebenarnya perlu diadakan di setiap sekolah yang mempunyai Kelab Malaysiaku.

“Tetapi pada kali ini kita gabungkan semua Kelab Malaysiaku di Daerah Keningau agar dapat menarik dan mengumpul penyertaan yang ramai sekali gus memudahkan pihak SPR memberikan taklimat kepada semua peserta.

Para peserta merakamkan kenangan bersama Rasinin.

Para peserta merakamkan kenangan bersama Rasinin.


“Di samping itu juga, pihak kami ada menjemput beberapa pameran daripada jabatan-jabatan kerajaan yang lain seperti Unit Farmasi dan unit promosi Jabatan Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Perpustakaan Negeri Sabah dan Polis Diraja Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan dan menjayakan program ini,” jelasnya.

Kelab Malaysiaku ialah sebuah kelab berkonsepkan kegiatan bersepadu di sekolah-sekolah menengah sebagai satu kegiatan ko-kurikulum yang diwujudkan dengan kerjasama antara sekolah dan Jabatan Penerangan Malaysia.

EM

Tinggalkan komen anda