Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

 ‘Projek Pensel’ Model Terbaik Pembangunan Modal Insan Luar Bandar

By 12 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto:  Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 12 Apr (Malaysiaktif) – Kerajaan amat menitikberatkan aspek pendidikan di negara ini sebagai teras pembangunan modal insan bagi mewujudkan rakyat celik membaca, menulis, mengira untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nor Hizwan Ahmad berkata matlamat itu berjaya dicapai melalui tanggungjawab dan cabaran besar dipikul warga pendidik dan ibu bapa.

Menurutnya lagi, beliau cukup berbangga kerana Projek Pensel yang telah diperjuangkan sejak tahun 2015 kini telah mencapai objektifnya bagi mengangkat martabat pendidikan anak-anak di pedalaman serta meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya telah difahamkan Projek Pensel yang telah diasaskan oleh Norina Umoi Utot sejak tahun 2015, kini semakin selesa untuk mengorak langkah ke depan bagi merealisasikan misi dan visi mereka terutamanya melibatkan pendidikan awal dan sekolah rendah di kawasan luar bandar.

Nor Izwan menandatangani buku lawatan SK St Martin, Lachau

Nor Izwan menandatangani buku lawatan SK St Martin, Lachau

“Usaha ini penting dalam memberi kesedaran terhadap pentingnya pendidikan anak-anak bermula daripada prasekolah bagi menyemai semangat dahagakan ilmu dan cenderung untuk meneroka dunia baharu dalam pendidikan alaf 21,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pensel anjuran bersama Pengasasnya, Norina Umoi Utot dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) St. Martin (M) Lachau baru baru ini.

Nor Hizwan berkata beliau amat menyokong penuh dengan perkembangan itu dan menyarankan agar projek pensel yang berkonsepkan memberi pendidikan kepada anak-anak diteruskan pada masa akan datang dan tidak terhenti begitu sahaja.

“Saya melihat prospek Projek Pensel ini boleh diketengahkan lagi serta diperluaskan ke negeri-negeri lain di negara ini malahan mampu diperkenalkan sehingga ke peringkat UNESCO, namun memerlukan tajaan daripada pelbagai pihak untuk menjayakan projek ini.

“Di bahagian Sri Aman ini sudah terbukti kejayaan Projek Pensel yang sudah dijalankan sejak empat tahun lalu dimana menerima banyak jemputan bagi menyampaikan ceramah motivasi pendidikan di rumah-rumah panjang, pihak sekolah dan PIBG sekitar Sri Aman sepanjang musim cuti perayaaan,” ujarnya.

Nor Hizwan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar

Nor Hizwan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar

Jelas Nor Hizwan, selain menyampaikan ceramah motivasi, projek ini turut menyerahkan sumbangan set pensel 2B kepada pelajar-pelajar sekolah rendah di rumah panjang di kawasan Sri Aman.

“Perjalanan Projek Pensel ini sememangnya begitu komited untuk membantu meringankan beban ibu bapa daripada keluarga kurang berkemampuan dan mempunyai ramai anak sedang bersekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Projek Pensel, Norina Umoi Utot berkata permulaan perjalanan dalam memulakan langkah Projek Pensel ini mempunyai banyak cabaran dan halangan pada mulanya diperkenalkan.

Namun katanya, cabaran serta halangan tersebut tidak mematahkan semangat mereka dalam memperjuangkan pendidikan anak-anak terus diambil perhatian.

“Pada mulanya perjalanan Projek Pensel yang bermula pada tahun 2015, begitu banyak halangan daripada penduduk di sekitar kawasan ini.

“Paling menyedihkan, rombongan kami yang membawa Projek Pensil dengan memberi sumbangan peralatan persekolahan anak-anak di rumah panjang, dipandang sinis oleh penduduk pada masa itu. Beliau yang menggunakan sebahagian daripada gajinya untuk menggerakkan Projek Pensel turut berhasrat untuk meluaskan model projeknya dengan mewujudkan kelas khas kepada warga emas.

Pengasas Projek Pensel, Norina Umoi mengajar salah satu model pembelajaran dalam “Projek Pensel” kepada para pelajar

Pengasas Projek Pensel, Norina Umoi mengajar salah satu model pembelajaran dalam “Projek Pensel” kepada para pelajar

“Bercerita mengenai cabarannya pula, perjalanan rombongan kami menaiki perahu panjang yang mengambil masa kira- kira satu jam untuk sampai ke destinasi memberi pengalaman merasai sendiri kepayahan dan kesukaran yang dihadapi masyarakat luar bandar,” ujar Norina.

Katanya, kini beliau cukup berbanggga, kerana Projek Pensil ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada penduduk di bahagian Sri Aman ini sekaligus merealisasikan hasrat pendidikan anak-anak diutamakan serta mengangkat martabat pendidikan anak-anak di pedalaman dan meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pensel 2B ini simbolik kepada perjuangan kita untuk memberi dorongan kepada anak-anak berjaya dan cemerlang dalam pendidikan, sama ada akademik mahupun teknik dan vokasional,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut, Nor Hizwan dan Norina telah menyampaikan sumbangan berupa peralatan alat tulis dari Projek Pensel kepada 70 orang pelajar SK St. Martin (M) Lachau.

Tinggalkan komen anda