Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Teruja Roket Buatan Sendiri Meluncur di Udara

By 8 April 2019Tiada komen5 minit bacaan
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

RANAU, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Melihat roket buatan sendiri meluncur laju ke udara pastinya sesiapa sahaja akan rasa teruja, lebih seronok apabila aktiviti tersebut disiapkan dengan sepenuh hati, hasil kerjasama bersama rakan-rakan sekumpulan.

Begitu jelas kegembiraan yang dapat dilihat daripada raut wajah empat sahabat yang mewakili Sekolah Rendah Kituntul, Ranau apabila persembahan roket air mereka antara yang berlepas tinggi, walaupun penglibatan mereka sekadar penyertaan sahaja.

Ini kerana Pertandingan Roket Air yang dianjurkan sempena Minggu Sains Negara 2019 Peringkat Sabah anjuran Sabah Stargazers yang diadakan di Padang Awam Kundasang hanya dibuka untuk pelajar-pelajar sekolah menengah sahaja.

Pelajar SMK Agama Tun Ahmadshah secara sukarela mengendalikan pertandingan tersebut melalui bengkel yang diadakan oleh Sabah Stargazers di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau dan Tuaran yang melibatkan smua PPD di pantai barat.

Berjaya dilancarkan....

Berjaya dilancarkan

Namun begitu Amar Shahril, 5, dan tiga kawan sekumpulannya tetap bersemangat untuk turut serta malahan satu-satunya kumpulan yang menghantar penyertaan untuk kedua-dua kategori yang ditawarkan iaitu Kategori Roket Payung Terjun dan Kategori Roket Sasaran.

Kategori Roket Payung Terjun dinilai menerusi catatan masa paling lama roket berada di udara, manakala roket sasaran pula dinilai mendarat paling hampir dengan kon yang diletak sebagai sasaran dengan jarak sejauh 100 kaki.

Menurut Amar, sebelum menyertai pertandingan tersebut, dia memang pernah membuat roket air di sekolah bersama rakan-rakan, tetapi bila percubaan dilakukan, roketnya tidak meluncur tinggi.

Amar Shahril

Amar Shahril

“Mula-mula dimaklumkan untuk menyertai pertandingan ini, saya rasa gementar tetapi turut teruja.

“Kami dapatkan sendiri bahan-bahannya dan segera membinanya bersama-sama. Proses membuatnya juga tidak susah, sebab cikgu sentiasa ada untuk memberi tunjuk ajar.

“Selepas siap, kami ada buat percubaan di sekolah, tetapi roket tidak terbang tinggi dan payung juga lambat terbuka.

“Untuk ke pertandingan ini, kami tidak membuat apa-apa perubahan, hanya meletakkan batu di tapak roket, supaya roket dapat meluncur ke atas dengan pantas, jika layak memang kami mahu dapatkan tempat pertama, tetapi kami di sini hanya memenuhi penyertaan sahaja,” kongsi Amar yang bercita-cita menjadi juruterbang dan angkasawan.

Amar(dua dari kiri) bersama rakan sepasukannya dari SK Kituntul

Amar (dua dari kiri) bersama rakan sepasukannya dari SK Kituntul

Sebagai penyertaan, pasukan Amar berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Payung Terjun.

Sementara itu, guru Sains SK Kituntul, Siti Norzeha Apar, mengakui ini merupakan kali pertama sekolahnya menghantar penyertaan ke pertandingan sebegini.

Katanya, murid-murid terpilih secara sukarela dan dia berperanan sebagai guru pembimbing sahaja, selebihnya mereka mendapat sepenuh galakan daripada ibu bapa pelajar sendiri yang turut sama hadir memberikan sokongan.

Siti Norzeha Apar

Siti Norzeha Apar

“Aktiviti ini merangsang minat pelajar untuk menyertai aktiviti sebegini, kesan yang paling besar saya lihat, murid-murid teruja untuk membuat kembali projek ini kerana mereka pinta untuk anjur di sekolah pula.

“Pada pendapat saya aktiviti luar sebegini sangat bagus untuk pelajar, perlu dibuat lagi setiap tahun dan saya harap pertandingan ini dibuka untuk sekolah rendah juga kerana dalam silibus mata pelajaran sains sekolah rendah tahun lima juga ada projek untuk membuat roket air.

“Aktiviti begini boleh menguatkan semangat murid dan memberi motivasi pada mereka untuk membuat sesuatu projek dan dapat merangsang lagi kepada aktiviti-aktiviti yang lain,” jelas Siti Norzeha.

Antara gelagat para peserta ketika melancarkan roket masing-masing.

Peserta sedang cuba melaraskan hala roket untuk kategori roket sasaran.

Tambahnya, kos pembuatan membuat sebuah roket air hanyalah kira-kira RM10 sahaja. Mereka hanya perlu membeli dua botol minuman air berkarbonat bersaiz besar, plastik sampah untuk dijadikan payung terjun, benang dan penyepit makanan untuk dibuat sayap.

Menurutnya juga, para pelajar kelihatan sangat teruja dengan menyertai pertandingan buat pertama kali dan ada lagi kumpulan yang mahu turut serta, tetapi mereka tiada pengangkutan untuk membawa peserta.

Kumpulan peserta yang sedia ada pun, dibawa oleh salah seorang ibu bapa manakala satu kumpulan lagi datang bersamanya.

Dalam pada itu, Siti Norzeha turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik agar dilakukan semakan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua pekeliling berkaitan tugasan guru di luar sekolah susulan kemalangan maut membabitkan tiga pelajar di Kota Tinggi, baru-baru ini.

Antara gelagat para peserta ketika melancarkan roket masing-masing.

Paras air yang diisi di dalam roket mampu menentukan tekanan ketika roket dilancarkan.

“Kemalangan itu turut mempengaruhi guru-guru dan kami amat berharap ada semakan daripada segi SOP untuk membawa pelajar menghadiri aktiviti di luar.

“Ini penting untuk melicinkan pergerakan guru dan murid, dan bila ada semakan dan SOP yang bagus, kedua-dua pihak dapat manfaat iaitu guru dan murid serta ibu bapa.

“Jadi, jika selepas ini ada kejadian yang tidak diingini berlaku, kedua-dua pihak tidak akan menyalahkan antara satu sama lain.

Antara gelagat para peserta ketika melancarkan roket masing-masing.

Antara gelagat para peserta ketika melancarkan roket masing-masing.

“Senario begitu merupakan perkara biasa di kalangan pendidik dan kami memang sentiasa bersedia untuk membawa murid-murid ini menghadiri aktiviti luar memandangkan tidak semua keluarga pelajar mempunyai kenderaan,” ulasnya.

Siti Norzeha berkata, jika selepas ini para guru tidak lagi mahu mengurus pelajar untuk aktiviti luar, ia akan menjadi satu kerugian yang besar, sedangkan program hari ini pun ramai murid yang berminat tetapi kekangan kami untuk membawa dan kami berada di sini juga atas inisiatif sendiri.

“Lagi pula, murid-murid sangat berbakat dan mereka juga bersemangat untuk turut serta, jadi jika kita mengekang bakat mereka, sememangnya ia menjadi satu kerugian kepada sekolah.

Antara gelagat para peserta ketika melancarkan roket masing-masing.

Peserta bedebar melihat hasil projek mereka dilepaskan ke udara.

“Tambahan juga, Kementerian Pendidikan mahu murid itu berkembang secara holistik, jadi salah satu caranya dengan membawa mereka keluar dari sekolah dan membuat aktiviti luar, biarkan mereka berkembang melalui pengalaman sebenar,” ujarnya.

Seramai 23 pasukan bertanding untuk kategori roket payung terjun dan 23 pasukan juga untuk kategori roket sasaran yang dibuka untuk pelajar sekolah menengah.

Ahli jawatankuasa pertandingan roket, Hartini Asimin berkata ini merupakan kali pertama sekolah-sekolah di Ranau menyertai pertandingan roket air walaupun sebelum ini Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) anjuran Kementerian Pendidikan sering menganjurkan pertandingan seumpamanya.

Hartini Asimin

Hartini Asimin

“Sebelum ini karnival STEM yang sudah 10 tahun diadakan di Sabah pernah dianjurkan di Kota Kinabalu, Tuaran dan Papar. Walaupun terbuka kepada seluruh sekolah di Sabah, tetapi sekolah di Ranau tidak pernah langsung turut serta, mungkin tiada pendedahan dilakukan kepada mereka.

“Jadi hari inilah kali pertama mereka mencuba, kelihatannya mereka teruja dan kalau sudah ada pendedahan mungkin mereka boleh sertai Karnival STEM yang setiap tahun diadakan, jadi diharapkan program hari ini akan menjadi pencetus.

“Saya berharap pertandingan ini akan menjadi aktiviti tahunan dan mungkin boleh dianjurkan di daerah lain yang terpencil seperti Kudat atau Kuala Penyu, kerana di samping mempromosikan pendidikan kita juga boleh mempromosikan pelancongan,”kata Hartini.

Para peserta merakamkan kenangan bersama-sama pada Pertandingan Roket Air

Para peserta merakamkan kenangan bersama-sama pada Pertandingan Roket Air

Bagi kategori Payung Terjun, Tempat Pertama dimenangi oleh SMK Mat Salleh, diikuti oleh SMK Tenghilan di tempat kedua manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh SMK Badin, Tuaran.

Bagi kategori Sasaran pula, tempat pertama dimenangi oleh SMK Tenghilan, diikuti SMK Mat Salleh di tempat kedua dan ketiga.

Para pemenang membawa pulang hamper, wang tunai dan sijil daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC). 

EM

Tinggalkan komen anda