
Laporan/Foto: Zaidi Jamin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Warga kerja Sedafiat Sdn.Bhd di negeri ini digalak untuk terus mencipta projek serta produk inovasi agar mutu perkhidmatan yang disalurkan sentiasa berkualiti dan memenuhi keperluan pelanggan.

Ag. Buhtamam (kanan) bersama Dr. Yogendra (tengah) mendengar penjelasan daripada ketua pasukan yang menyertai pertandingan inovasi PIKS.
Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat, Datuk Ag. Buhtamam Ag. Mahmun berkata, usaha untuk membudayakan kreativiti dan inovasi di kalangan warga Sedafiat bukan sekadar untuk memperkemaskan perkhidmatan yang ditawarkan sebaliknya mampu memberi impak serta manfaat kepada organisasi dan orang ramai.
“Projek-projek inovasi yang dihasilkan sudah tentu mempunyai potensi untuk memperbaiki kaedah, prosedur dan cara kerja seharian.
“Sehubungan itu setiap penghasilan projek inovasi bukan sahaja perlu ditambah nilai malah perlu dimantapkan serta diaplikasikan bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya semasa merasmikan perasmian Program Inovasi dan Kreativiti Sedafiat (PIKS) di Auditorium Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada Isnin.
Sambil menghargai dan berbangga dengan kesungguhan anggota Sedafiat menghasilkan projek-projek inovasi yang bermutu, beliau berharap projek- projek tersebut akan terus diperhalusi dan dikembangkan agar mampu dimanfaatkan secara lebih menyeluruh.

Ag Buhtamam menyampaikan sijil kepada juara kumpulan inovasi daripada Sedafiat Tawau melibatkan produk Pencuci tiub condensor dan evoperator chiller.
Bertemakan ‘Inovasi Pencetus Kecemerlangan’, program yang julung kali diadakan ini antara lain bertujuan memberi galakan dan pengiktirafan kepada hasil-hasil inovasi warga Sedafiat yang mampu meningkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan selain memupuk dan menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif warganya dalam melaksanakan tugas harian.
Lebih 27 projek inovasi diketengahkan dan dibentangkan oleh kumpulan- kumpulan inovasi daripada fasiliti Sedafiat Peringkat Hospital Seluruh Sabah. Majlis turut menobatkan pasukan Sedafiat Tawau sebagai juara dengan ciptaan inovasi produk Pencuci Tiub Condensor dan Evoperator Chiller.
Naib Juara disandang pasukan Sedafiat Sandakan menampilkan inovasi ciptaan Penggera Pemantauan bekalan air bersih ke hospital manakala pasukan Sedafiat Kinabatangan dengan inovasi mempermudahkan urusan pencarian fail meraih tempat ketiga.
Turut terlibat selaku juri ialah Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia wilayah Sabah, Edward Binty, Mohammad Sukri Umar dan Hikmah Savitri Sunarto selaku Pengerusi dan Setiausaha Persatuan Inovasi Kota Kinabalu.

Sedafiat Kinabatangan… Ag. Buhtamam menyampaikan sijil kepada kumpulan inovasi PIKS yang menjadi pemenang tempat ketiga.
Hadir sama pada majlis, Timbalan Pengarah Klinikal HQE, Dr. Yogendra a/l Panchalingam; Penyelaras Program PIKS, Nur Siddiq Chin Abdullah serta pengurus fasiliti Sedafiat peringkat Bahagian dan Daerah.