Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlis

1,483 Kes Kematian Dicatatkan Bagi Tempoh Jan-Mac Tahun Ini

By 30 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Statistik kemalangan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kemalangan pada tahun 2018 telah menurun kepada 6,284 kes berbanding 6,740 kes pada tahun 2017 manakala untuk tahun ini sebanyak 1,483 kematian akibat kemalangan jalan raya telah dicatatkan untuk tempoh dari Januari hingga Mac.

Bagi menyemai kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) telah melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 Peringkat Negeri Perlis, di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad, kempen pada kali ini memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu pendidikan (advokasi dan khidmat nasihat), penguatkuasaan, pencegahan serta pemantauan dan penilaian.

“Kempen ini akan diadakan secara berterusan pada musim perayaan untuk mendidik serta memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya akan kepentingan keselamatan jalan raya khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah,” jelasnya ketika ditemui pada pelancaran kempen tersebut siang tadi.

Jelas Noor Amin lagi, Operasi Bersepadu ini telah bermula sejak semalam sehingga 13 Jun ini dan kerajaan telah menguatkuasakan larangan penggunaan jalan raya kepada kenderaan berat pada 1-3 serta pada 8-9 Jun.

“Larangan akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM bertujuan mengurangkan risiko berlakunya kemalangan akibat daripada peningkatan kenderaan semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

“Kerajaan juga dalam peringkat cadangan untuk mewajibkan pengunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, tali pinggang keledar belakang bagi penumpang kenderaan dan bas awam pada tahun 2020,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, seramai 50 orang penunggang motosikal dan 10 pembonceng kanak-kanak turut menerima topi keledar baharu yang disumbangkan oleh JKJR Perlis yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan pelepasan beberapa kenderaan dari agensi penguatkuasaan sebagai gimik perasmian di majlis tersebut.

-SH

Tinggalkan komen anda