Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorMA

Jualan Murah Bantu Ringankan Kos Sambutan Aidilfitri

By 30 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan

Pelapor/foto: Khairuzzaki Ahmad/Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin/Musliha Yusof (Iskandar Puteri)

ISKANDAR PUTERI, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Jualan terus dari ladang, My Best Buy Pra Aidilfitri anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta agensi-agensi di bawah MOA mendapat sambutan warga tempatan di sini.

Program agihan ini merupakan satu usaha membantu meringankan beban rakyat untuk menyambut Aidilfitri yang menjelang tidak lama lagi dengan harga jualan yang murah dan berpatutan.

Diadakan di Hentian Bas Kota Iskandar, Iskandar Puteri semalam hingga hari ini, pelbagai produk segar ditawarkan dengan harga berpatutan, antaranya ayam segar RM9.00 seekor, daging segar RM29.00 sekilo, telur ayam sepapan RM9.00, sayur-sayuran baru yang murah dari harga pasaran serta banyak lagi barangan keperluan mentah yang lain.

Turut diadakan jualan barangan runcit, jualan produk jenama nasional, jualan produk Industri Asas Tani, jualan pakaian dan barang perhiasan rumah bagi persiapan Aidilfitri.

Antara peniaga yang mengambil bahagian

Antara peniaga yang mengambil bahagian

Sebanyak lebih kurang 50 gerai telah mengambil bahagian dalam menjayakan Program My Best Buy Pra Aidilfitri 2019 dan ternyata dalam temubual bersama beberapa pengunjung dan juga peniaga gerai di program tersebut adalah sangat positif.

Mustaqizah Md Sawal, 33, antara pengunjung yang ditemui berharap agar program ini dapat diadakan selalu, bukan sahaja untuk sambutan hari raya, kerana kos barang dapur yang semakin mahal.

Mustaqizah membeli secara borong ayam segar yang amat murah dari harga pasaran dan juga membeli pelbagai jenis ikan dengan harga hanya RM40, berbanding membelanjakan RM80 di tempat yang biasa dibeli.

“Syukurlah ada tempat murah begini. Kalau saya beli di tempat lain, kosnya berlipat ganda dari harga yang ditawarkan hari ini,” ujarnya gembira.

Mustaqizah (kanan) mengambil peluang berbelanja barangan keperluan raya

Mustaqizah (kanan) mengambil peluang berbelanja barangan keperluan raya

Manakala Syafikah Abdullah, 25, yang bertugas sebagai kakitangan awam di sini teruja dengan harga barangan basah yang ditawarkan.

“Sayur-sayuran kampung yang dijual di sini nampak segar dan pastinya murah dari tempat lain,” katanya kepada wartawan Malaysia Aktif.

Pengunjung juga ditawarkan dengan jualan mempelam Harumanis yang didatangkan khas dari negeri Perlis.

Sebelum ini, peminat Harumanis berusaha mendapatkan buah dengan pembekal melalui pos namun kali ini boleh membeli di sini sahaja. Ramai pengunjung mengambil kesempatan membeli Harumanis dengan harga yang berpatutan iaitu RM60 untuk 3 kilogram.

Syafikah (tengah) gembira dapat membeli sayur yang segar dengan harga yang murah

Syafikah (tengah) gembira dapat membeli sayur yang segar dengan harga yang murah

Program ini dapat memberi kesan kepada masyarakat dan sedikit sebanyak usaha ini dapat membantu meringankan beban rakyat pada musim perayaan ini.

FAMA dengan kerjasama Kerajaan Negeri diharapkan terus komited untuk memastikan keperluan barangan harian terjamin menjelang perayaan Aidilfitri awal Jun depan.

Selain itu, FAMA turut membuka kaunter pendaftaran kepada pengunjung yang hadir dan program ini juga sebagai satu platform untuk mempromosikan sistem AgroBazaar Online yang menjual pelbagai produk usahawan tempatan di negara ini berasaskan pertanian dan juga produk makanan.

Para pengunjung juga boleh melayari AgroBazaar Online untuk membeli pelbagai produk yang lebih murah harganya dari pasaran seperti membeli belah di Shoppe atau Lazada.

Harumanis dijual pada harga RM60 untuk 3 kilogram

Harumanis dijual pada harga RM60 untuk 3 kilogram

Di samping mendapatkan produk berasaskan pertanian terus dari usahawan, ia juga dapat membantu usahawan tempatan meluaskan rangkaian perniagaan mereka.

Program selama dua hari ini disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

-EM

Tinggalkan komen anda