
Laporan/foto: Norliza Yusof/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Tiga puluh orang asnaf termasuk anak yatim sekitar Kota Kinabalu menerima sumbangan daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).
Sumbangan wang tunai dan barang keperluan tersebut disampaikan oleh Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Azhar Datuk Matussin diiringi Pengerusi SEDCO, Datuk Dr Richard Sakian Gunting dan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir dalam Majlis Iftar Ramadan SEDCO di Masjid Bandaraya, pada Selasa.

Azhar (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kewangan kepada salah seorang pengerusi masjid sambil diperhati Pengiran Saifuddin (kiri).
Turut menyampaikan sumbangan pada majlis tersebut adalah Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia, Kelab Radio Television Malaysia dan Masjid Bandaraya berjumlah RM1,000 manakala Masjid Al-Amin Kampung Rasak Laut Tandek, Kota Marudu pula sebanyak RM500.

Azhar (kiri) dan Richard (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan keperluan hari raya kepada salah seorang asnaf dalam Majlis Iftar Ramadan SEDCO di Masjid Bandaraya.
Selain berbuka puasa dan solat fardu maghrib berjemaah, para tetamu turut mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan pendakwah bebas, Datuk Abdul Manaf Lakariba.
Dalam pada itu, sempena bulan Ramadan, SEDCO dengan kerjasama Badan Islam Kumpulan SEDCO, Kelab Sukan dan Sosial Kumpulan SEDCO dan beberapa anak syarikatnya turut mengadakan Program Ziarah Ramadan 2019 bermula 8 Mei hingga 17 Mei lalu.
Dalam program tersebut, sumbangan wang tunai, kelengkapan sistem audio, kurma dan buku Yasin disampaikan kepada 20 buah masjid di kawasan luar bandar antaranya di Sook, Tenom, Keningau, Lahad Datu dan Kinabatangan.