
Laporan/foto: Haliza Mohd Taib/Mohd Shazreen Suradi (Muar)
MUAR, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Seperti tahun-tahun sebelum ini, Pejabat Daerah Muar akan mengadakan Program Lawatan Berbuka Puasa Dan Terawih sempena menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak.
Program bertujuan merapatkan silaturahim antara ketua-ketua jabatan daerah Muar dengan penduduk setempat dan bulan Ramadhan dipilih kerana sangat bersesuaian untuk mengadakan aktiviti seumpama ini serta menyantuni penduduk tempatan.
Pegawai Daerah, Mohd Haffiz Ahmad bersama 20 orang ketua jabatan Daerah Muar berkesempatan meneruskan lawatan program Berbuka Puasa dan Terawih di Mukim Ayer Hitam yang diadakan di Masjid Jamek Parit Haji Anuar, disini.
Dalam ucapan Mohd Haffiz, beliau bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa tahun ini serta berpeluang memperkenalkan ketua-ketua jabatan yg turut hadir bagi memudahkan penduduk kampung berhubung jika terdapt aduan atau masalah di tempat mereka.
“Pembangunan di Mukim Ayer Hitam akan terus rancak dengan projek-projek untuk masyarakat seperti pembinaan tangki air serta naiktaraf dan baik pulih jalan-jalan di Mukim tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kadi Daerah Muar Taufik Shamsudin turut menyampaikan tazkirah sempena Ramadan dan beliau mengingatkan semua bahawa sebagai umat Islam haruslah memperbanyakkan doa dan amal ibadah dalam bulan Ramadan.
Turut diadakan, penyampaian bantuan Ramadan kepada golongan asnaf. sumbangan berupa wang tunai diberikan kepada 10 orang penerima terdiri dari penduduk Mukim Ayer Hitam yang telah dikenalpasti layak menerima sumbangan.
Aishah Rahmat, 73, antara penerima sumbangan berkata sumbangan diterima dapat membantu persediaan sekeluarga menyambut bulan Ramadan.
“Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Daerah atas keprihatinan beliau kepada masyarakat mukim ini khsusunya golongan asnaf,” ujarnya.
Turut hadir ADUN Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni dan Kadi Daerah Muar, Taufik Shamsudin.