Skip to main content
Berita TempatanHomeJohor

Harga Murah Tarikan Utama

By 9 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Nor Adilah Abdullah (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Kemeriahan Pasar Pagi Sungai Tiram bukan sahaja kerana beraneka jenis pakaian dijual di sini tetapi juga pada harga murah sehingga menjadi tumpuan ribuan pengunjung setiap kali menjelang Aidilfitri.

Pasar pagi ini yang juga dikenali sebagai Pasar Kemboja di kalangan penduduk setempat hanya beroperasi setiap Khamis dari pukul 7 pagi hingga tengahari.

Dikenali sebagai Pasar Kemboja kerana pada asalnya pada 1975 beberapa peniaga dari Kemboja menjual pakaian secara bungkusan di tepi jalan raya Batu 18 di situ dan menjadi Pasar Kemboja Pertama diwujudkan di negeri ini.

Sambutan di luar jangkaan daripada penduduk tempatan dan pengunjung dari negara jiran iaitu Singapura ketika itu sehingga pasar itu menjadi popular sejak 15 tahun lalu. Kini, bilangan peniaga melebihi 250 dengan beberapa orang daripadanya Pakistan dan Melayu.

Penduduk tempatan turut menyambut baik kewujudan Pasar Kemboja ini dengan mengambil peluang menjual makanan dan minuman selain mengambil bayaran untuk tempat letak kenderaan pengunjung di depan kediaman mereka.

Peniaga yang ditemui turut teruja berniaga bukan saja kerana selesa di situ tetapi juga menerima ramai pelanggan. Mereka sudah dikenali penduduk tempatan serta dari luar daerah Johor Bahru.

Antara pengunjung yang datang ke Pasar Pagi ini

Antara pengunjung yang datang ke Pasar Pagi ini

Peniaga berasal dari Kemboja, Salihah Rostam, 55, berkata Pasar Kemboja itu sinonim dengannya kerana jualannya sejak lebih 15 tahun lalu tidak mengecewakan menyebabkan dia menambah sehingga menjadi 12 jenis pakaian dijual pada setiap Khamis.

Ibu enam anak yang sudah 40 tahun tinggal di negara ini dibantu lima anak yang turut berniaga pakaian di tiga lokasi lain iaitu Kota Tinggi, Pasar Pandan dan Pasar Karat Johor Bahru.

“Atas permintaan pelanggan, saya menjual beraneka jenis pakaian termasuk jubah, blaus, kain pasang, baju, skirt, kain pelekat dan telekung solat yang sebahagian bekalannya diambil dari Vietnam dan Thailand.

“Alhamdulillah, pelanggan akui berpuas hati dengan jualan terutama mutu pakaian dan harganya menyebabkan saya ada pelanggan tetap setiap kali menjual di lokasi ini,” katanya.

Manakala penjual tudung berasal dari Kemboja, Zaleha Rashid, 37, berkata kemeriahan Pasar Kemboja di situ juga kerana turut dibanjiri gadis Melayu yang memilih pelbagai jenis tudung yang dijual di pasar.

“Saya menjual beraneka jenis tudung dengan paling banyak ialah chiffon, bawal, sebai atau selendang dan tiga ‘layer’ kerana jenis-jenis ini paling banyak mendapat sambutan daripada gadis dan wanita muda.

“Masa kini kebanyakan gadis bertudung dan gemar memilih fesyen tudung. Kadang-kadang baru hendak buka dan sedang sibuk meletakkan tudung di tempat jualan sudah pun diserbu pelanggan,” katanya yang baru tiga tahun berniaga di Pasar Kemboja di situ.

Pelbagai jenis tudung yang dijual

Pelbagai jenis tudung yang dijual

Zaleha yang menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu dan berkahwin dengan penduduk tempatan Musa Abdul Kadir, 37, kini dibantu anak gadisnya, Erni Suhana Musa, 18, di samping dua rakan anaknya.

Seorang lagi peniaga pakaian dari Cheras, Kuala Lumpur yang juga warga Kemboja, Saudi Idris, 56, mengakui turut berniaga di beberapa pasar pagi lain termasuk di Ayer Hitam, Kluang, Bandar Jengka dan Pekan, Pahang, Sungai Buloh dan Banting di Selangor.

Katanya, perniagaan di pasar berkenaan mempunyai pelanggan tersendiri, malah kebanyakan memilih pasar pagi berikutan harganya yang lebih murah berbanding kedai biasa.

“Kualiti sama dengan di kedai kain lain, tetapi di sini harga lebih murah serta para pelanggan juga boleh membeli secara borong,” katanya yang mempunyai enam anak berusia antara empat hingga 31 tahun.

Dia membawa muatan pakaian seperti kain ela, tudung, kain pelekat dan batik serta lain-lain dengan menggunakan van.

Menurutnya, kain tudung yang dijualnya berharga antara RM5 hingga RM15, kain ela pula berharga RM15 hingga RM35 dan harga tersebut 10 hingga 20 peratus lebih murah berbanding kedai biasa.

EM

Tinggalkan komen anda