Skip to main content
Berita TempatanHomeJohor

Keakraban Adab dan Adat Dalam Seni Silat Sendeng

By 8 Mei 2019Tiada komen4 minit bacaan
Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Terdapat pelbagai ilmu persilatan yang boleh dipelajari di Johor dan masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

Seni Silat Sendeng, antara ilmu persilatan yang boleh dipelajari dan telah diberi pengiktirafan sebagai seni persilatan rasmi di negeri Johor sejak 2009 yang lalu.

Seni Silat Sendeng diasaskan oleh Allahyarham Hamid Hamzah yang menggalas tanggungjawab sebagai Guru Utama dalam persilatan ini sejak ditubuhkan pada tahun 1955 di Sungai Mati, Muar, Johor serta mewarisi ilmu persilatan daripada nenda-nenda beliau dan disatukan menjadi Seni Silat Sendeng.

Silat ini kemudiannya dibawa ke Batu Pahat oleh Allahyarham Yakob Abdullah sekaligus menjadi guru utama yang berdaftar di bawah Belia 4B iaitu Persatuan Pemuda Daerah Batu Pahat bertempat di kawasan Rengit  pada tahun 1967. Setelah meninggal dunia, jawatan tersebut diambil alih oleh Hamid Ahmad sehingga ke hari ini.

“Hampir 15 tahun saya menggalas tanggungjawab ini dan silat ini mula bertapak di Batu Pahat sejak dua tahun yang lalu serta dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Batu Pahat.

Seni Silat Sendeng dapat membentuk keperibadian diri dan memberi kebaikan dalam diri setiap pelatih

Seni Silat Sendeng dapat membentuk keperibadian diri dan memberi kebaikan dalam diri setiap pelatih

“Seni Silat Sendeng Batu Pahat beroperasi di empat lokasi sekitar kawasan Rengit, Penggaram dan Evergreen Height,” katannya.

Nama Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Abdul Hamid Hamzah pada perguruan ini mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri iaitu Seni bermaksud kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.

Manakala Silat pula bermaksud ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata dan Sendeng bermaksud adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang berposisi mengiring.

“Seni Silat Sendeng adalah ilmu seni bela diri yang memukul dan mempertahankan diri iaitu sebanyak 99 peratus menyerang.

“Walaubagaimanapun, silat ini bukanlah ilmu untuk pergaduhan dan menggunakan ilmu terhadap perkara yang bukan pada haknya,” ujar Hamid.

Hamid Ahmad, menggalas tanggungjawab sebagai Guru Seni Silat Sendeng sehingga kini

Hamid Ahmad, menggalas tanggungjawab sebagai Guru Seni Silat Sendeng sehingga kini

Terdapat beberapa perkara penting yang menjadi nadi utama dalam menjadikan pesilat itu mahir dalam pergerakan silat seperti memahami adab dan adat yang perlu diikuti oleh setiap pelatih sehingga jurulatih serta silibus pembelajaran dan amalan latihan yang diterapkan dalam perguruan.

Adab lebih ditekankan dalam persilatan ini kerana adab adalah norma atau aturan mengenai sopan santun yang digunakan dalam pergaulan manusia berlandaskan ajaran agama Islam. Adat pula bukan perkara yang ditulis namun adat hanya boleh diikuti oleh masyarakat yang selari dengan norma-norma manusia.

“Setakat ini belum ada pertandingan yang dianjurkan kerana silat ini memang seperti bertinju dan boleh menjurus ke arah olahraga namun kami belum putuskan demi menjaga keunikan silat ini,” ujar Hamid lagi ketika ditanya tentang pertandingan yang pernah atau bakal dianjurkan.

“Tetapi tahun ini kita mahu memartabatkan warisan bangsa dan kami akan mengetengahkan sukan silat di mana kita akan tekankan pelatih dengan cara, identiti dan cara permainan kita.

“Persepsi masyarakat setempat menjadi masalah utama dalam mengembangkan silat ini kerana mereka lebih memikirkan perkara mistik yang menyimpang dari ajaran agama Islam dalam dunia persilatan Melayu dan hal ini menyebabkan pelbagai tanggapan negatif dilemparkan terhadap silat Melayu,” ujarnya lagi.

Mohd Alif Iskandar (kiri) berada tahap 2 pembelajarannya dalam Seni Silat Sendeng

Mohd Alif Iskandar (kiri) berada tahap dua pembelajarannya dalam Seni Silat Sendeng

Menurut beliau silat ini menitikberatkan seni membina diri atau pembetulan peribadi di mana kedua-dua ini akan digabungkan di dalam jiwa setiap orang pelatih dan perkara ini memerlukan masa yang lama untuk memahaminya kerana setiap ilmu dan ajaran yang diberi, diterima tidak terpesong dari akidah Islam.

“Ilmu persilatan dapat membantu masyarakat setempat agar menghargai dan memelihara warisan seni persilatan melayu serta membuka mata masyarakat bahawa pentingnya amalan laihan, adab dan adat yang diterapkan dalam Seni Silat Sendeng Batu Pahat serta membentuk keperibadian diri dan memberi kebaikan terhadap sebahagian dari panduan hidup serta mempunyai nilai warisan yang tinggi dalam diri mereka,” tambah Hamid.

Pelajar yang mengikuti pembelajaran silat ini terdiri daripada pelbagai peringkat usia iaitu dari usia lima hingga 21 tahun namun, pelajar yang mendominasi kelompok ini terdiri daripada usia 15 hingga 17 tahun.

Salah seorang pelatih, Mohd Alif Iskandar Azali, 21, yang menyertai persilatan ini sejak 2 tahun lalu dan kini berada di tahap dua pembelajaranya.

“Saya berharap Seni Silat Sendeng Batu Pahat ini dapat terus maju dan semakin ramai masyarakat yang lebih terbuka untuk menerima dan turut serta dalam memartabatkan silat ini,” katanya.

Seni Silat Sendeng dapat membentuk keperibadian diri dan memberi kebaikan dalam diri setiap pelatih

Seni Silat Sendeng dapat membentuk keperibadian diri dan memberi kebaikan dalam diri setiap pelatih

Untuk rekod, silat ini mempunyai empat rentetan pembelajaran antaranya belebat, permainan alat silat atau tarian silat, jurus silat dan buah pukulan. Rentetan ini akan mengalami fasa dan peringkat terhadap pelatihnya apabila mencapai sesuatu tahap.

EM

Tinggalkan komen anda