
Laporan/ foto: M Zakry Chan
AYER KEROH, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Gotong-royong menyediakan bubur lambuk oleh warga Menara Persekutuan di sini, baru-baru ini, masuk tahun kelima penganjuranya.
Program anjuran Biro Sosial dan Kerohanian Menara Persekutuan ini mendapat kerjasama yang baik dari 27 jabatan kerajaan di Menara Persekutuan yang menghantar wakil membantu menyediakan kelengkapan dan memasak bubur lambuk bersama.
Menurut Pihak Pengurusan Bangunan Menara Persekutuan, Nazarudin Zainal, 56, program ini masuk tahun kelima dan sentiasa dinantikan oleh pihak mereka dan juga kakitangan menara persekutuan.
“Tahun ini kami menyediakan tiga periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada kakitangan bertugas dan orang ramai yang mendapatkan perkhidmatan di sini,” ujarnya.
Manakala bagi bakal pesara, Nor Hashim Yusof, 58, program masak bubur lambuk bersama penjawat awam ini adalah yang kali terakhir baginya yang akan bersara bulan Julai 2019.
“Setiap tahun saya pasti akan bersama untuk membantu memasak bubur lambuk namun sebak juga kerana bakal meninggalkan perkhidmatan awam tidak lama lagi apabila membuat persaraan pilihan.
“Saya berharap program ini diteruskan dan bertambah meriah dengan pembabitan lebih ramai golongan muda dalam kalangan penjawat awam,” tambahnya.