Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Koperasi Perak Prihatin Golongan Asnaf

By 21 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Mohd Nazri Saparudin (Kinta)

IPOH, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Lebih 90 orang asnaf di sekitar Ipoh menerima sumbangan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perak di Dewan Serbaguna Taman Meru, di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi, berkata usaha ini telah diterajui oleh koperasi-koperasi yang bernaung di bawah suruhanjaya ini.

“Golongan asnaf ini terdiri daripada bukan ahli koperasi yang mana usaha ini adalah bertujuan untuk menzahirkan matlamat koperasi dalam pembangunan dan kebajikan komuniti luar koperasi.

Asmuni (kanan) menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf sempena Majlis Keikhlasan Hati Koperasi Negeri Perak, di sini semalam.

Asmuni (kanan) menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf sempena Majlis Keikhlasan Hati Koperasi Negeri Perak, di sini semalam.

“Usaha sebegini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan silaturahim sesama umat Islam,” jelasnya dalam ucapan bersempena Majlis Keikhlasan Hati Koperasi Negeri Perak.

Sementara itu, Pengarah SKM Negeri Perak Azam Sulaiman, menjelaskan bahawa sehingga Disember 2018, lebih 1,600 buah koperasi telah berdaftar di bawah SKM negeri ini.

“Seramai lebih 309,021 orang dengan modal bersama RM542 juta dan bilangan aset sekitar RM1.3 bilion, perolehan koperasi sehingga Jun 2019 berjaya mencecah RM666 juta.” katanya.

Menurut Azam, koperasi ini bergerak berdasarkan prinsip koperasi yang digunapakai di seluruh dunia.

“Kita ada tujuh prinsip utama yang mana prinsip ketujuh memberi penekanan terhadap keprihatinan koperasi terhadap masyarakat,” jelasnya lagi.

Azam memaklumkan bahawa lima koperasi turut serta dalam menerajui prinsip ini, antaranya Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad, Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad, Koperasi Perbadanan Perak Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi Pembangunan Keluarga Haji Mohamad Perak Berhad.

Suri Rumah, Aminah Shahbuddin, 58, berkata sumbangan ini adalah sumbangan pertama yang diterimanya selain dalam usaha untuk mengemaskini Bantuan Sara Hidup (BSH) yang bakal diterima.

“Persiapan hari raya bukanlah menjadi keutamaan setelah menerima sumbangan ini namun lebih kepada menampung keperluan seharian,” katanya.

Seorang tukang rumah, Mohd Yusri Mustafa, 35, pula berkata bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat membantu membuat persiapan hari raya khususnya untuk anak-anak.

“Saya berharap program dan aktiviti sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan khususnya dalam membantu golongan asnaf untuk menghela nafas lega memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat,” ujarnya mengakhiri perbualan.

-SH

Tinggalkan komen anda