
Laporan/foto: Juslie Bacle/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Konsert Simfoni Piano daripada China akan diadakan pada 18 Julai ini menampilkan pemain piano terkenal, Claudia Yang dan Orkestra Simfoni Guangxi yang dipimpin oleh Tang Muhai.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata konsert tersebut merupakan kerjasama kementeriannya dengan Konsulat Besar China di sini.
“Perkongsian dan aktiviti seumpama ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan China melalui perkongsian budaya dan bahasa.

Christina (depan, kiri), Liang (depan, kanan) dan rombongan bergambar kenangan bersama Tun Juhar (depan, tengah)
“Bertemakan ‘Dream of Red Chamber‘, konsert akan berlangsung di Auditorium Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS),” jelas Christina, selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.
Menurutnya, tujuan kunjungan beliau dan rombongan ke Istana Negeri adalah untuk menjemput Tun Juhar sebagai tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pembukaan konsert berkenaan.
Hadir sama, Konsulat Besar China di Sabah, Liang Caide.