
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian
LABUAN, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Program Nur Ramadan merupakan gambaran kepada tema “Wilayah Peduli Harapan Dipenuhi” kerana menjurus kepada hasrat kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, Nur Ramadhan menjadi platform bagi pihaknya mendekati warga Wilayah Persekutuan Labuan dan menyampaikan sumbangan serta bantuan kepada seramai 320 orang penerima sumbangan yang terdiri daripada OKU, warga emas, ibu tunggal dan anak-anak yatim.
“Sumbangan Nur Ramadan ini adalah daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Perbadanan Labuan (PL), Yayasan Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang berbentuk wang tunai dan barang keperluan asas dalam menceriakan warga Labuan menyambut Ramadhan dan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Khalid (empat dari kanan) menyampaikan replika cek bantuan kit pengurusan jenazah kepada wakil masjid
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa melalui peruntukan Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, kita akan memberikan sumbangan berupa wang tunai kepada 16 buah masjid, 14 buah Surau Jumaat dan 28 buah Surau yang mana setiap Masjid akan menerima cek berjumlah RM3,000.00 dikuti Surau Jumaat berjumlah RM2,000.00 dan Surau berjumlah RM1,000.00,” katanya.
Bantuan itu katanya melibatkan sejumlah 58 buah Masjid dan surau bernilai RM104,000.00 dan diharap semoga ia dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Tambahnya, Kementerian juga mendapat kerjasama dan sumbangan daripada rakan strategik iaitu Yayasan Wilayah Persekutuan yang menyumbangkan sejumlah 330 kit pengurusan jenazah kepada masjid dan surau sekitar Labuan.
“Sumbangan itu bertujuan untuk meringankan beban kepada individu yang memerlukan dan saya dimaklumkan bahawa setiap masjid dan surau akan menerima bantuan kit tersebut dalam kuantiti lima hingga sepuluh kit pengurusan jenazah yang lengkap,” jelasnya lagi semasa melancarkan Program Nur Ramadan 2019 bersamaan 1440 Hijrah bagi Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini di Masjid Sultan Muhammad V.