Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KKMM Terus Jadi Penghubung Antara Kerajaan Dan Masyarakat

By 29 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terus memainkan peranan menjadi penghubung kerajaan dan masyarakat dalam membina semangat kekitaan, kata Timbalan Menterinya Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata ia dilaksanakan melalui platform media massa di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), serta penganjuran pelbagai aktiviti seperti Sambutan Hari Kebangsaan dan kempen bersama rakyat serta bahan penerbitan oleh Jabatan Penerangan.

“Sepanjang setahun yang lalu, warga KKMM telah bertungkus-lumus mematuhi dan menjaga perpaduan, mengekalkan kestabilan sosial serta telah memberikan sumbangan yang positif ke arah melaksanakan tanggungjawab dalam pembinaan kerajaan baharu,” katanya pada majlis berbuka puasa KKMM, di sini semalam.

Majlis yang diadakan sempena perjumpaan bersama warga jabatan dan agensi KKMM itu turut dihadiri Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain.

Eddin Syazlee turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim pada majlis tersebut

Eddin Syazlee turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim pada majlis tersebut

Menyedari penyampaian dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat bermula daripada KKMM, Eddin Syazlee berkata warganya harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi terkini demi pembangunan masa depan negara baharu khasnya untuk memenangi hati rakyat dengan kualiti perkhidmatan yang baik.

Dalam pada itu, Eddin Syazlee berkata bulan Ramadan yang disambut oleh umat Islam mengingatkan tentang penghayatan nilai kasih sayang kepada golongan fakir miskin, mangsa bencana, dan amalan bersedekah kepada orang yang memerlukan.

Katanya nilai bermaaf-maafan, hormat-menghormati melalui adat kebudayaan pula membantu mengurangkan percanggahan antara etnik.

‘Lebih-lebih lagi, isu-isu sensitif yang berbangkit kebelakangan ini perlu dikendalikan dengan lebih cermat bagi mengelak konflik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam konteks ini, katanya komunikasi merupakan jambatan yang dapat menghubungkan persahabatan dan kesejahteraan masyarakat.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda