
Laporan/foto: Azimee Abdullah (Barat Daya)
BAYAN LEPAS, 8 Mei (Malaysiaaktif) – 13 orang pelajar sesak nafas akibat terhidu gas Iodin di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi kejadian dan didapati 13 orang pelajar mengalami sesak nafas dan batuk semasa menjalani ujikaji memanaskan cecair Iodin dalam subjek kimia di dalam makmal sekolah bersama guru.
Kesemua mangsa telah dibawa ke tempat selamat dan diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS BBP Bayan Baru dan seorang pelajar telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi menerima rawatan lanjut.
Ketua Zon ii Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri, Mohamad Shahrul Nizam Che Hasan, berkata proses pemanasan cecair iodin itu dipercayai dilakukan didalam makmal yang tidak mempunyai pengudaraan yang baik. Tiada anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dipanggil untuk membantu kerana ia tidak membabitkan pencemaran bahan berbahaya.
Menurut beliau lagi insiden ini dapat dikawal dengan baik tanpa mengakibatkan berlakunya kemalangan jiwa.