
Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri (Barat Daya)
BALIK PULAU, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Fenomena alam sukar untuk diduga manusia. Tanpa disangka-sangka kejadian ribut telah melanda beberapa lokasi sekitar parlimen Balik Pulau kira-kira jam 10 pagi di sini Kelmarin.
Beberapa tempat di Kampung Jalan Bharu, Kampung Kuala Jalan Bharu dan Kampung Pondok Upeh terjejas dengan dilaporkan beberapa buah rumah kedai dan juga rumah rosak teruk dipukul angin kencang.
Menurut Ali Hashim, 45, yang merupakan mangsa di Kampung Pondok Upeh, beliau ketika kejadian berada di rumah berasa sangat terkejut dengan ribut yang datang melanda.
“Saya sedang menonton televisyen ketika hujan lebat semalam dan terdengar hentakan kuat di ruang dapur. Saya mendapati bumbung dapur rumah saya telah pun diterbangkan angin kuat”, katanya.
“Ini merupakan satu ujian bagi saya dalam menempuh bulan puasa yang baru memasuki hari kedua”, tambahnya lagi.
Manakala di Kampung Kuala Jalan Bharu, sebanyak 8 buah kontena yang dijadikan tempat tinggal warga asing yang bekerja secara sah di sini terbalik dipukul ribut.
Seramai 9 orang mangsa yang mendiami kontena berkenaan cedera dan telah menerima rawatan di Hospital Balik Pulau.
Selain itu, beberapa batang pokok juga turut tumbang dalam kejadian semalam sehingga menghalang beberapa jalan utama. Namun pihak bomba dapat mengawal keadaan dengan mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan insiden yang lebih buruk berlaku.