
Laporan/foto: Hamidah Len/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Melihat kanak-kanak menangis kerana ingin dibelikan barang permainan itu perkara biasa, tetapi merintih kerana enggan pulang dari perpustakaan pastinya luar biasa.
Namun, suasana begitu boleh dilihat di Perpustakaan Wilayah Tanjung Aru semenjak pembukaannya pada April lalu.
Ternyata impian Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Wong Vui Yin untuk menyediakan sebuah perpustakaan khas untuk kanak-kanak membawa fenomena baharu dalam bidang kepustakawanan.
Menurutnya, Sikap suka membaca hendaklah disemai seawal usia dan tidak hanya bermula ketika seseorang berumur 13 atau 14 tahun.
“Fungsi perpustakaan kini adalah lebih meluas iaitu menjadi lokasi pertemuan dan perbincangan serta tidak hanya terhad dengan fungsi konvensional.
“Oleh yang demikian, pengalaman ketika melancong ke luar negara saya adaptasikan menerusi kepada rekabentuk dalaman perpustakaan.
“Pengenalan konsep-konsep baharu perpustakaan kepada masyarakat perlu dibuat, jika bukan sekarang, bila lagi?
“Pustakawan akan membantu membimbing dan menunjukkan cara penggunaan kemudahan-kemudahan baharu yang disediakan,” ujarnya yang telah berkecimpung selama 39 tahun dalam bidang kepustakawanan.
Menurutnya lagi, walaupun terpaksa menangani beberapa isu seperti vandalisme di awal pembukaan, beliau berharap menerusi pendedahan dan pemberitahuan dapat mendidik masyarakat cara-cara yang betul menggunakan kemudahan di perpustakaan.
Bagi penduduk sekitar Kota Kinabalu pula pasti ramai yang tertarik melihat foto-foto Perpustakaan Tanjung Aru yang tular di media sosial sebelum pembukaannya lagi.
Melihat senibina dan rekabentuk dalamannya, mungkin tidak keterlaluan juga jika dikatakan, ini adalah perpustakaan yang wajib anda kunjungi.
“Tingkat satu Perpustakaan Tanjung Aru ini iaitu kawasan yang dikhaskan untuk kanak-kanak sememangnya menjadi tumpuan utama.
“Replika berwarna-warni yang menghiasi pintu masuk sudah semestinya menarik perhatian pengunjung di mana bahagian siling umpamanya, tergantung replika hidupan laut seperti penyu, ikan, obor-obor dan pelbagai hidupan marin.
“Rak-rak buku unik berbentuk ikan dan juga sotong menempatkan pelbagai genre buku bersesuaian dengan usia kanak-kanak.
“Sudut bercerita diilhamkan daripada paus dan sotong kurita, dindingnya pula dihias dengan mural pemandangan dasar laut, menggamit kanak-kanak untuk terus berasa seronok berada di perpustakaan,” ujar Wong.
Di penjuru aras yang sama juga turut disediakan “Reading Net’, satu kawasan berjaring yang membenarkan pengunjung untuk membaca secara santai.
“Meskipun mendapat banyak halangan di peringkat pelaksanaan, kini ia menjadi sudut kegemaran dewasa, remaja dan kanak-kanak.
“Kemudahan seperti ini banyak disediakan di perpustakaan negara-negara Scandinavian dan merupakan yang pertama dibuat di Sabah dan mungkin juga di Malaysia.
“Konsep ini juga sebenarnya sudah digunapakai di beberapa negara Afrika, bagi menambahkan keselesaan pembacaan, pihak Perpustakaan Wilayah Tanjung Aru telah menyediakan ‘Bean Bag’ di tengah-tengah ‘Reading Net’ ini,” jelas Wong.
Di satu sudut yang lain juga, pengunjung yang melangkah masuk ke Bahagian Kanak-Kanak, pasti teruja dengan ‘Mirror Infinity Room’, di mana idea untuk melakukannya diperolehi sewaktu Wong mengunjungi Taipei Metropolitan Museum.
“Terdapat dua replika kuning berbentuk ikan melengkapi keterujaan anak-anak memasuki ruangan ini.
“Membaca sambil berbaring di atas replika ikan pastinya memberikan pengalaman menyeronokkan kepada anak-anak, ditambah lagi dengan refleksi diri sendiri yang terpantul menerusi cermin yang dipasang di seluruh ruangan bilik ini,” katanya.
Diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah, Perpustakaan Sabah turut memberi tumpuan dalam pendidikan tidak langsung kanak-kanak dan remaja.
“Saya berpandangan bahawa setiap individu adalah unik dan berbakat dalam cara tersendiri, maka saya mencadangkan agar Studio Muzik disediakan untuk kemudahan pengunjung.
“Cadangan luar dari kebiasaan ini sekali lagi mendapat tentangan kerana agak janggal untuk mempunyai Studio Muzik di dalam sesebuah perpustakaan.
“Namun, Bilik Studio Muzik yang dilengkapi alat-alat muzik bernilai RM50 ribu kini mendapat sambutan hangat.
“Menariknya, pengunjung lain tidak akan berasa terganggu kerana dinding Studio Muzik ini dilapisi panel serap bunyi.
“Kami menawarkan sewaan dengan kadar serendah RM20 untuk satu jam, hingga tempahan Studio Muzik ini kerap penuh terutamanya pada hujung minggu,” kata Wong bangga.
Bagi kaum ibu yang mempunyai bayi dan harus menemani anak ke perpustakaan pula tidak perlu risau kerana bilik penyusuan disediakan di sebelah kiri sebaik memasuki Bahagian Kanak-Kanak.
Dalam pada itu, salah seorang pengunjung, Suriayati Datu Mudin berkata, Perpustakaan Tanjung Aru mempunyai daya tarikan yang tinggi kerana mempunyai perhiasan dalaman, permainan, warna serta corak yang menarik.
Beliau bagaimanapun menghadapi kesukaran untuk membawa anaknya pulang dari perpustakaan kerana mereka masih ingin menghabiskan masa berada di sana.
Berkongsi pengalaman daripada pengunjung membuktikan usaha Perpustakaan Tanjung Aru telah berjaya dan wajar dipuji apabila menciptakan suasana mesra kanak-kanak.
Sudah tentu kanak-kanak yang menguasai kemahiran membaca pada peringkat awal akan lebih yakin dan mempercepatkan penguasaan sesuatu bidang ilmu.
Membaca juga menawarkan kaedah senaman minda yang berkesan, memperkuat rangkaian dalam otak manusia malah berupaya merangsang pembinaan saraf yang baharu.