Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

‘Ngerandang Jalai Gawai’ Tarikan Utama Program Pemimpin Bersama Rakyat

By 18 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

BINTULU, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Acara ‘Ngerandang Jalai Gawai’ iaitu Perarakan Berjalan Gawai peserta yang lengkap dengan pakaian tradisional dan aksesori oleh masyarakat Dayak dari seluruh pulau Borneo menjadi tarikan utama Program Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di lapangan lama Bintulu di sini hari ini.

Keunikan serta kepelbagaian corak dan aksesori hiasan pakaian tradisional dari setiap suku kaum Dayak baik dari Sarawak mahupun Kalimantan Barat Indonesia merupakan tarikan utama program tersebut. Hampir kesemua peserta memakai pakaian tradisional masing-masing serta aksesori hiasan  mengikut kawasan atau wilayah mereka tinggal.

Simbolik memotong batang pisang bagi memulakan Ngerandang Jalai Gawai oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Simbolik memotong batang pisang bagi memulakan Ngerandang Jalai Gawai oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Perarakan sejauh 1.4km turut disertai oleh YB Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Tuan Gobind Singh Deo, para pemimpin politik dan masyarakat serta beberapa pegawai dari KKMM.  Sebanyak 43 kontinjen dengan anggaran lebih kurang 2500 peserta terdiri daripada etnik Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan juga masyarakat Dayak dari Kalimantan Barat Indonesia.

Majlis dimulakan dengan upacara ‘miring’ dan ‘bebiau’ di pentas utama diketuai oleh mantan Sarjon Major Robert Malang dan kemudiannya disusuli dengan ‘pembunuhan’ seekor babi mengikut adat resam masyarakat Iban.

Simbolik pelepasan perarakan dilakukan oleh YB Tuan Gobind Singh Deo dengan memotong batang pisang. Perarakan diketuai oleh kumpulan Bujang Berani iaitu bekas-bekas tentera yang pernah menerima pingat-pingat pahlawan kerana perjuangan mempertahankan negara suatu ketika dahulu.

Selain daripada perarakan berbagai acara pengisian program seperti persembahan tarian, ngajat, silat, peragaan pakaian tradisional, pantun Iban, muzik tradisional seperti sape dan taboh. Suku kaum Dayak dari Kapuas Kalimantan Barat Indonesia turut diundang mempersembahkan tarian dan muzik tradisional mereka.

Ucapan Perasmian YB Tuan Gobin Singh Deo, dan menyatakan Perayaan Gawai Dayak harus dapat liputan media arus perdana

Ucapan Perasmian YB Tuan Gobin Singh Deo, dan menyatakan Perayaan Gawai Dayak harus dapat liputan media arus perdana

Sementara itu dalam ucapan Perasmianan YB Tuan Gobind  berkata Kementeri Komunikasi Dan Multimedia menyokong penuh agar perayaan Hari Gawai Dayak di Sarawak diangkat ke martabat yang selayaknya dan mendapat liputan dan tempat yang berpatutan di saluran media arus perdana.

Beliau berkata dengan adanya liputan dari arus media perdana di bawah naungan Malaysia Baharu, generasi muda dapat didedahkan kepada kekayaan dan kehalusan seni budaya serta adat masyarakat mereka yang mungkin jarang dapat mereka saksikan.

“Saya difahamkan bahawa masyarakat Dayak amat kaya dengan adat dan budaya yang tinggi.

“Kepelbagaian budaya dan bangsa adalah keistimewaan negara kita dan keharmonian yang terhasil daripada perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan daya tarikan kepada warga seluruh dunia.”

Para peserta yang mengikuti Perarakan atau Ngerandang Jalai Gawai lengkap dengan pakaian tradisional

Para peserta yang mengikuti Perarakan atau Ngerandang Jalai Gawai lengkap dengan pakaian tradisional

Dengan kehadiran lebih kurang 5000 orang, majlis itu amat meriah serta mendapat sambutan dari masyarakat berbilang kaum dari sekitar Bintulu dan berdekatan. Di samping persembahan terdapat juga gerai menjual makanan, pakaian tradisional, aksesori hiasan pakaian serta promosi produk dari  syarikat telco seperti DG, Celcom dan Telekom.

YB Tuan Gobind Singh Deo bergambar bersama-sama dengan tetamu dan pengunjung yang memenuhi khemah utama

YB Tuan Gobind Singh Deo bergambar bersama-sama dengan tetamu dan pengunjung yang memenuhi khemah utama

Majlis tersebut turut dihadiri YB Tuan Ali Baju, Ahli Parlimen Saratok, YB Senator Tuan Alan Ling Sie Kiong, Ahli Dewan Negara, YB Tuan Chiew Chiu Sing, ADUN Tanjong Batu, YB Tuan Dr. Ting Tiong Choon, ADUN Pujut dan YBrs. Tuan Shakib Ahmad Shakir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Program ini adalah kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Persatuan Balang Balai Nyabung dan NGO-NGO Dayak di bawah pimpinan Dr John Brian dan Dr Dusit Jaul. Ia  bermula pada jam 6.00 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang.

Tinggalkan komen anda