
Laporan/foto: Pai Syahira Yahya (Pahang)
KUANTAN, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Firma audit bebas, PriceWaterhouseCoopers (PwC) secara rasmi telah dilantik oleh Jabatan Perdana Menteri untuk mengaudit akaun Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM).
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh merangkap Ahli Parlimen Kuantan.
Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lanjut berhubung laporan dana yayasan itu berjumlah RM1 juta yang sepatutnya disalurkan kepada anak yatim didapati disalah guna.
“Itu pentadbiran terdahulu di bawah kerajaan terdahulu, saya tidak perlu komen, kita sudah melantik PwC untuk mengaudit akaun YAPIEM.
“Kita kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) akan memastikan bantuan Yapiem disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya ketika menyampaikan sumbangan sempena Kembara Rahmah Nur Ramadan 2019 di pekarangan Surau Flat Perumahan Rakyat Pak Mahat, di sini baru-baru ini.
Menurut Fuziah, sekiranya ada penyelewengan menerusi audit yang dilaporkan, perkara tersebut akan diserahkan kepada pihak perundangan untuk tindakan sewajarnya.
“Sama ada laporan audit itu akan didedahkan kelak atau tidak terserah kepada lembaga pengarah YAPIEM untuk menentukannya,” tambahnya.