Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala Lumpur

Rakyat Perlu Hargai Keamanan, Keharmonian dan Perpaduan

By 14 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Rakyat Malaysia perlu menghargai keamanan, keharmonian dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini selain menjadikan semangat setiakawan dan muhibah pegangan generasi akan datang.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Suraya Wen berkata ketidaksefahaman daripada aspek agama, budaya dan kaum boleh menjadikan negara huru-hara sekali gus merugikan negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Beliau berkata, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 membawa banyak pengajaran yang boleh dihayati dan dijadikan panduan hidup masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Setelah 62 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, pastinya kita tidak mahu negara tergadai disebabkan pergaduhan dan perbalahan yang berpunca daripada sentimen perkauman seperti yang dialami 50 tahun lalu.

“Keseimbangan sosioekonomi antara kaum amat penting bagi memastikan generasi masa depan dapat terus menikmati perpaduan dan keharmonian,” katanya ketika mengulas peristiwa 13 Mei 1969 yang berlaku 50 tahun lepas dalam segmen RB Ekstra program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini malam tadi.

Justeru, katanya, Perpaduan sentiasa komited melaksanakan inisiatif bagi memastikan keamanan dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.

Suraya berkata, antara lain, Perpaduan menubuhkan kelab Rukun Negara di institusi pengajian tinggi sebagai mekanisme penerapan, penghayatan dan pengamalan lima prinsip Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, katanya, perkongsian mesej positif antara kaum giat dilaksanakan untuk dikongsikan bersama sebagai sumber inspirasi dan motivasi kepada seluruh anggota masyarakat.

“Kita juga mengadakan dialog-dialog harmoni antara penganut agama sebagai platform meningkatkan kefahaman dan pengetahuan mengenai agama dan cara hidup pelbagai kaum yang menganuti pelbagai agama,” katanya. – BERNAMA / foto: arkib Malaysia Aktif

Tinggalkan komen anda