Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlis

MAIPs Sumbang Bantuan Fitrah Lebih RM3 Juta Kepada 9,378 Keluarga di Perlis

By 14 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyediakan Sumbangan Bantuan Fitrah MAIPs kepada asnaf fakir dan miskin di negeri ini yang berjumlah RM3,751,200 bagi 9,378 buah keluarga dan sumbangan ini diagih mengikut kariah masjid masing-masing.

Titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah melantik amil-amil zakat di setiap kariah masjid dalam negeri Perlis dan berharap rakyat di negeri ini dapat menunaikan bayaran zakat fitrah kepada amil-amil rasmi yang dilantik.

“Semoga setiap amil yang dilantik dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan efisien dan cekap, ini kerana mereka menjadi ‘jambatan’ atau penghubung di antara MAIPs, pembayar zakat dan penerima zakat.

“Amil yang berdedikasi dan bertanggungjawab akan menjadi kunci kepada kejayaan kutipan dan agihan zakat yang optimum dan seterusnya akan menatijahkan kepercayaan masyarakat dan amil yang dilantik”, titah baginda ketika merasmikan Masjis Ihya’ Ramadan dan Bantuan Fitrah MAIPs 2019/1440H di Masjid Tuanku Syed Putra, di sini semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Menteri Besar Perlis serta barisan kepimpinan kerajaan Negeri Perlis.

Raja Muda Perlis (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Kempen Wakaf Tunai Projek Bangunan Wakaf MAIPs, di sini semalam.

Raja Muda Perlis (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Kempen Wakaf Tunai Projek Bangunan Wakaf MAIPs, di sini semalam.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut mengingatkan bahawa seorang amil pada masa sekarang perlu celik digital agar dapat bertugas dengan lebih cemerlang.

“Para amil perlulah cakna dan sentiasa peka terhadap masalah-masalah yang berlaku kepada asnaf-asnaf penerima zakat dan cuba membantu dengan menyalurkan maklumat dengan tepat mengenai cara memohon bantuan.

“Amil turut perlu menguasai aplikasi dan peralatan teknologi maklumat seperti penggunaan aplikasi-aplikasi semasa seperti Facebook, Whatsapp dan sebagainya, kerana ebolehan menggunakan peralatan dan aplikasi ini dapat membantu menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan dengan lebih berkesan,” titah baginda lagi.

Baginda turut berharap agar kerjasama erat antara Jawatankuasa Kariah, Amil Zakat MAIPs dan pihak pengurusan MAIPs akan terus mekar dan kuat untuk memastikan masyarakat dapat merasai manfaatnya.

Dalam majlis itu juga, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Kempen Wakaf Tunai Projek Bangunan Wakaf MAIPs – Perkhidmatan Hemodialisis HTF@masjid.

Pusat hemodialisis wakaf di Perlis akan diuruskan oleh Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan apabila siap sepenuhnya kelak akan memberi manafaat kepada beribu pesakit buah pinggang di negeri ini.

-SH

Tinggalkan komen anda